Tujuh premis ada najis tikus, lipas, katak di Batang Kali diarah tutup

1 day ago 8

HULU SELANGOR – Tujuh premis makanan di sekitar Batang Kali, di sini, diarah tutup kerana dikesan melanggar piawaian kebersihan ditetapkan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Tindakan itu diambil menerusi Ops Suci yang dijalankan oleh 40 anggota yang terdiri daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Perlesenan dan Jabatan Bangunan, baru-baru ini.

MPHS dalam kenyataannya berkata, daripada 18 premis yang diperiksa, tujuh diarah tutup dan tindakan pembersihan perlu dilakukan serta merta dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis diberi.

Ujarnya, beberapa pelanggaran serius terhadap standard kebersihan premis makanan dikesan termasuklah penemuan hurungan lipas, najis tikus dan katak di dalam premis.

“Selain itu, telur ayam yang tidak dibasuh dengan sempurna, ruang penyimpanan tidak teratur dan kotor, pengendali makanan tiada Sijil Latihan Pengendali Makanan dan suntikan pelalian anti tifoid.

“Premis turut melepaskan sisa efluen daripada premis terus ke dalam longkang awam, mempunyai perangkap minyak dan sistem pelepasan asap yang tidak diselenggara”, katanya.

MPHS turut berkata, kesalahan lain termasuklah pengendali berkuku panjang, memakai barang kemas, tidak memakai apron, kasut dan penutup kepala dan gagal melantik operator kawalan haiwan perosak yang berdaftar dengan Lembaga Racun Malaysia.

Susulan pemeriksaan tersebut, pihak JPSPPA mengeluarkan 30 Notis kompaun berdasarkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007 berjumlah keseluruhan ialah RM30,000.00 tanpa pengurangan.

MPHS berkata, tindakan tegas ini diharap dapat memberi amaran kepada pemilik dan pengendali premis makanan lain untuk memastikan kebersihan dan keselamatan makanan di premis sentiasa dijaga.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |