Truper Abdul Hamid: ‘Adik saya kini hampir tiada respons’

14 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Keadaan anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib yang mengalami kecederaan otak traumatik dilaporkan kembali merosot dan kini hampir tidak lagi memberikan sebarang respons selepas menjalani pembedahan pemasangan implan titanium pada tempurung kepalanya.

Kakaknya, Noreliana Sajali berkata, adiknya yang kini terlantar sejak hampir lima bulan lalu tidak lagi mampu bercakap, makan atau bergerak, malah hanya bergantung kepada susu dan rawatan sokongan untuk meneruskan kehidupan.

“Keadaan adik kita sekarang, dia tak boleh bercakap, tak boleh makan. Tenaga dia dekat badan sekarang bersumberkan susu saja keluar masuk, itu sajalah.

“Dia tak boleh buat apa-apa sekarang, hanya terlentang berbulan-bulan di katil,” katanya.

Noreliana berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), di sini hari ini.

Terdahulu, Lawyers For Liberty bersama ahli keluarga mangsa menyerahkan memorendum kepada Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Mariati Robert di Pejabat Suhakam.

Menurut Noreliana, sebelum menjalani pembedahan pemasangan titanium pada tempurung kepala, adiknya masih menunjukkan sedikit tindak balas apabila ahli keluarga datang melawat.

“Sebelum operasi dia masih ada respons. Bila keluarga datang, dia nampak, kita cakap suruh salam, dia boleh beri reaksi.

“Tapi lepas buat pembedahan pasang titanium dekat kepala pada 26 Jun lalu, keadaan dia kembali merosot macam sebelum ini. Sekarang memang hampir tiada respons,” ujarnya.

Dia berkata, keluarga turut menanggung kos rawatan yang semakin meningkat terutama bagi keperluan susu khas dan peralatan perubatan harian.

“Beribu-ribu ringgit juga kami belanjakan. Susu dia pun tak sampai seminggu dah habis. Belum lagi kos peralatan seperti suction dan keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga, Rania Aljunied berkata, Suhakam memaklumkan akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari untuk mendaftarkan aduan sebelum melantik seorang pegawai penyiasat bagi mengendalikan kes tersebut.

Menurutnya, pegawai berkenaan kemudiannya akan mengambil keterangan daripada ahli keluarga sebelum memanggil semua agensi berkaitan bagi membantu siasatan.

“Suhakam akan mengambil masa antara tujuh hingga 14 hari untuk memasukkan kes ini ke dalam sistem mereka. Selepas itu seorang pegawai akan dilantik untuk mengendalikan kes dan mengambil keterangan daripada keluarga.

“Mereka juga akan bertemu semua agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan dan menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, keluarga berharap siasatan dijalankan secara telus memandangkan sehingga kini mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan dalaman yang dijalankan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Mungkin ada siasatan dalaman dilakukan, tetapi keluarga langsung tidak dimaklumkan mengenai status atau hasilnya.

“Tiada penjelasan diberikan kepada keluarga. Sebab itu kami hadir ke Suhakam hari ini kerana mahukan ketelusan,” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, TDM menegaskan kebajikan Abdul Hamid sentiasa menjadi keutamaan dan memaklumkan tindakan perundangan terhadap individu yang terlibat telah diambil, manakala proses pemberhentian perkhidmatan pelaku sedang dilaksanakan.

Abdul Hamid mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk selepas insiden di Kem Iskandar, Mersing, Johor pada Mac lalu sehingga menyebabkan beliau lumpuh pada keempat-empat anggota badan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |