Titah Agong sentiasa jadi panduan luhur buat kerajaan – Anwar

1 day ago 11

KUALA LUMPUR – Titah-titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sentiasa menjadi panduan luhur bagi kerajaan dalam membentuk serta melakar dasar serta menjunjung aspirasi rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Baginda juga memastikan kesejahteraan menyeluruh dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Anwar ketika berucap di Istana Negara turut mewakili kerajaan serta sekalian rakyat mohon merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda hari ini.

“Patik dan sekalian rakyat merafakkan doa ke hadrat Allah semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat dan hidayahNya serta terus diberi keafiatan dan penuh kedaulatan, memayungi negara dan menaungi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Anwar berkata Malaysia kekal teguh meski dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan.

Beliau berkata, Malaysia menjadi antara negara yang terawal dan tangkas bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.

“Langkah-langkah strategik telah diambil secara menyeluruh dan terangkum, dengan penglibatan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara.

“Keutuhan negara tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan semata, tetapi juga pada kekuatan daya tahan (resilience) rakyat terbanyak,” katanya.

Anwar berkata, peningkatan hasil agro-tani, produk tempatan dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak yang memperkukuh ekonomi.

“Dukungan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap inisiatif ini memperlihatkan semangat kebangsaan yang tinggi dan kesedaran terhadap peri penting sikap kemandirian dalam cabaran global yang tidak menentu ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |