Tipu penculikan: Penuntut warga China didenda RM17,000

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penuntut universiti warga China yang membuat lakonan culik untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta mengundang padah apabila dia didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Zhang Runbao, 23, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan semula kepadanya semasa sebutan kes hari ini.

Hakim Azrul turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, Zhang Runbao didakwa menipu ibu rakannya dengan membuat panggilan dan menunjukkan video rakannya iaitu Ye Yingxi diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.

Tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta wanita itu memasukkan duit tebusan sebanyak lima juta Yuan (bersamaan RM2.9 juta) ke dalam satu akaun di China dengan kesemua perbuatan itu ialah lakonan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, antara pukul 11.44 pagi hingga 9.15 malam pada 2 Mei lalu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain mengambil kira tindakan tertuduh yang menipu menyusahkan ramai pihak.

“Pendakwaan turut memohon tertuduh kedua (Ye Yixing) dilepas tanpa dibebaskan berikutan tertuduh pertama (Zhang) sudah mengaku bersalah,” katanya,

Mendengar hujahan pemberatan pihak pendakwaan, peguam Ernie Sulastri Ahmad yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya adalah pesalah kali pertama dan pengakuan bersalahnya menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Dalam pada itu, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Ye Yixing memohon supaya mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya selepas memaklumkan mangsa enggan meneruskan kes dan menarik balik laporan polis terhadap anaknya.

Hakim Azrul kemudian membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh kedua dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan itu.

Pada prosiding lalu, Zhang Runbao dan Ye Yingxi
yang kedua-duanya penuntut sebuah universiti di Singapura itu mengaku tidak bersalah dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.

Mengikut pertuduhan utama, kedua-dua lelaki itu didakwa menipu dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Yingxi telah diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan gum tape (pita pelekat) berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang dengan air.

Kedua-dua tertuduh kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta ibu kepada Yingxi memasukkan duit tebusan sebanyak lima juta Chinese Yuan (bersamaan RM2.9 juta) ke dalam satu akaun di China, yang mana kesemua perbuatan itu adalah lakonan sahaja bagi mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |