Timor-Leste, ASEAN: Langkah terakhir ke arah integrasi serantau

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Penerimaan Timor-Leste sebagai anggota rasmi ASEAN bukan sahaja merupakan satu langkah simbolik, malah ia sebagai keperluan strategik untuk
menyempurnakan integrasi serantau Asia Tenggara.

Dalam kalangan sebelas negara di rantau ini, hanya Timor-Leste yang masih belum menjadi anggota penuh ASEAN walaupun telah mengemukakan permohonannya sejak 2011.

Langkah kemasukan Timor-Leste dilihat sebagai melengkapkan peta geopolitik ASEAN dan mengukuhkan solidariti serta keutuhan rantau ini.

Melihat daripada sudut geostrategik, Timor-Leste terletak dalam lingkungan Asia Tenggara dan berkongsi sejarah serantau yang sama dengan negara-negara jiran.

ntegrasi Timor-Leste ke dalam ASEAN dilihat sebagai pelengkap kepada aspirasi “Satu Komuniti ASEAN” yang inklusif sekali gus mencerminkan komitmen ASEAN terhadap prinsip keterangkuman, kestabilan dan pembangunan bersama di rantau ini.

Sementara itu, Professor Madya Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr Azmil Mohd Tayeb berkata, keanggotaan ASEAN menjanjikan banyak faedah kepada Timor-Leste, khususnya dari segi ekonomi.

Katanya, dengan menyertai ASEAN, negara ini berpeluang menikmati kelebihan akses pasaran terbuka dan penghapusan tarif melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN.

“Manafaatnya adalah dari segi keterbukaan ekonomi dan ketiadaan tarif yang mengekang perdagangan. Ini membuat eksport dari Timor Leste menjadi lebih murah dan import ke Timor-Leste lebih murah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Azmil, dari segi sosial, penglibatan Timor-Leste dalam pelbagai mesyuarat dan persidangan serantau akan merapatkan hubungan diplomatik dan budaya dengan negara- negara jiran.

“Ia membuatkan Timor-Leste menjadi lebih terintegrasi dalam rantau ASEAN di mana mesyuarat dan persidangan akan dibuat di Dili. Timor Leste juga boleh menjadi tumpuan pelancongan dan juga pelaburan syarikat asing yang membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Ia boleh membantu menurunkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan anak muda di sana (75 peratus dari populasi berusia bawah 35 tahun),” jelasnya.

Mengulas mengenai cabaran strategik dan diplomatik, Azmil berkata, hubungan rapat Timor- Leste dengan China dalam aspek ekonomi menimbulkan keprihatinan dalam kalangan beberapa anggota ASEAN.

Oleh itu, beliau berpandangan menjadi keperluan bagi Timor-Leste untuk mengalihkan orientasi strategiknya ke arah ASEAN bagi menjamin keseimbangan geopolitik dan mengelakkan sebarang ketidaktentuan yang boleh menjejaskan ketenteraman serantau.

“Dari segi pemerkasaan demokrasi, Timor-Leste sudah mencapai tahap yang agak baik. Ia mempunyai kebebasan media yang terbuka, menandatangan hampir semua perjanjian-perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan antarabangsa lain dan sebagainya.

“Apa yang mereka perlukan adalah bantuan untuk meningkatkan kapasiti tatakelola
kerajaan, sumber daya manusia, pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang masih agak lemah,” jelasnya.

Namun begitu, dakwaan bahawa keanggotaan Timor-Leste akan menjadi beban kepada ASEAN adalah kurang tepat.

Mengikut indeks terkini, Timor-Leste sebenarnya berada di atas Kemboja, Laos dan
Myanmar dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.

Justeru, jurang pembangunan boleh dirapatkan dengan adanya bantuan teknikal dan
peluang ekonomi yang disediakan menerusi keanggotaan ASEAN.

Menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN bukan sahaja satu tindakan berlandaskan prinsip keadilan dan integrasi serantau, tetapi juga satu pelaburan jangka panjang untuk kestabilan, kemakmuran serta kekuatan geopolitik Asia Tenggara.

Pada 6 Februari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan Malaysia
menyumbang AS$200,000 kepada Unit Timor-Leste untuk membantu dan memudahkan proses pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke ASEAN.

Katanya terdapat 88 Instrumen Undang-Undang yang perlu dipatuhi Timor-Leste untuk diterima menjadi anggota tetap ASEAN dan daripada jumlah itu 69 merupakan tonggak ekonomi. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |