‘TikTok lewat beri kerjasama, tidak selesaikan isu buli siber, berita palsu’

7 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberikan tempoh masa kepada TikTok untuk memberi mekanisme terbaik bagi menyelesaikan isu penyebaran berita palsu sebelum mengenakan tindakan lanjut.

Beliau berkata, satu pertemuan diadakan antara pihaknya, TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman hari ini bagi membincangkan hal tersebut.

Fahmi turut berkata, pihaknya kurang berpuas hati apabila TikTok lewat memberikan kerjasama dan tidak menyelesaikan isu buli siber dan berita palsu yang dibangkitkan sebelum ini.

“Seperti kes remaja mendiang Esha yang sebelum ini berdepan dengan buli siber, TikTok berjanji akan menambah jumlah moderator dalam TikTok Live.

“Namun sehingga hari ini mereka gagal memberikan angka berapa ramai moderator yang ditugaskan. Sampai sekarang kita terus menerima aduan daripada komuniti India khususnya tentang masalah buli siber dalam TikTok,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Fahmi, keingkaran untuk mengatasi masalah ini, TikTok boleh dikenakan tindakan perundangan dan beliau menyerahkan selanjutnya kepada MCMC.

Menurutnya, katanya dari 1 Januari sehingga 31 Ogos, sebanyak 76,002 kandungan diturunkan di platform berkenaan, manakala 10,730 kandungan tidak diturunkan walaupun telah diminta kerana tidak melanggar ‘community guidelines’.

Sementara itu, Fahmi berkata, masalah dalam platform tersebut juga berlaku apabila kanak-kanak bawah usia 13 tahun turut memiliki akaun TikTok.

Disebabkan itu, pihaknya menggesa agar TikTok memberikan mekanisme terbaik kepada MCMC serta PDRM antaranya mewujudkan mekanisme ‘age verification’ (pengesahan umur) seperti yang dilakukan Singapura dan China.

“Kalau di China, ada beberapa ciri-ciri sekatan di mana pengguna tidak boleh meninggalkan komen sekiranya pengesahan identiti tidak dilakukan.

“Sebab itu saya bagi tempoh masa apakah tindakan yang mereka perlu lakukan. TikTok sebelum ini memberi jaminan akan mengambil tondakan tertentu, tetapi tiada mekanisme terperinci,” katanya.

Fahmi berkata selepas ini pihaknya akan bertemu dengan pihak Meta dan X dalam masa terdekat bagi membincangkan isu yang sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |