Selepas teruk dibadai Kalmaegi, Filipina berdepan Taufan Fung-wong pula

2 hours ago 2

MANILA – Kerja-kerja menyelamat ditangguhkan, manakala pemindahan awal bermula hari ini apabila Taufan Fung-wong melanda Filipina, beberapa hari selepas ribut lain mengorbankan sekurang-kurangnya 204 orang.

Fung-wong yang dijangka menjadi taufan super sebelum mendarat, akan membawa kesan meluas, dengan radius yang boleh meliputi hampir seluruh negara, demikian menurut seorang ahli meteorologi.

“Selain angin kencang, kita juga meramalkan hujan lebat dengan (taburan hujan) 200 milimeter atau lebih. Ia boleh menyebabkan banjir meluas, bukan sahaja di kawasan rendah,” kata ahli meteorologi, Benison Estareja pada taklimat akhbar hari ini.

“Terdapat juga kemungkinan lembangan sungai utama kita akan melimpah,” tambahnya.

Setakat pukul 11 pagi (waktu tempatan) ini, taufan itu bergerak ke arah barat menuju pulau utama Luzon di Filipina, dengan kelajuan angin 140 kilometer sejam (km/h) dan tiupan angin 170 km/h.

Di wilayah pesisir Aurora, di mana Fung-wong dijangka mendarat menjelang lewat esok atau awal pagi Isnin, penyelamat pergi dari rumah ke rumah untuk menggalakkan penduduk supaya menuju ke tempat yang lebih tinggi.

“Kami sedang memindahkan penduduk di kawasan yang mungkin berisiko tinggi dilanda banjir,” kata penyelamat wilayah, Elson Egargue kepada AFP melalui panggilan telefon.

Awal minggu ini, Taufan Kalmaegi menyebabkan banjir melanda bandar-bandar di wilayah Cebu, menghanyutkan kereta, pondok tepi sungai dan kontena perkapalan yang besar.

Taufan itu yang paling dahsyat pada tahun ini menurut pangkalan data bencana EM-DAT, telah mengorbankan sekurang-kurangnya 204 orang dan menyebabkan 109 lagi hilang, demikian menurut angka kerajaan terkini.

Sekurang-kurangnya lima orang lagi terbunuh ketika ia melanda Vietnam semalam. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |