KUALA LUMPUR – Ratu boling padang negara, Emma Firyana Saroji menutup kempen Piala Dunia 2025 dengan penuh bergaya apabila menewaskan lawan dari England, Katherine Rednall dalam aksi final perseorangan wanita di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Kejayaan itu bukan sahaja menebus kekalahan kepada lawan sama di peringkat kumpulan, malah mengesahkan pingat emas pertama buat Malaysia sekali gus menepati sasaran yang ditetapkan Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz.
Pertarungan berlangsung sengit sejak awal, namun pengalaman dan ketenangan Emma di hujung perlawanan menjadi penentu kemenangan.
Atlet berusia 37 tahun itu berkata, kunci utama kejayaannya adalah mengawal emosi dan kekal fokus pada balingan terakhir.
“Saya kena tenangkan diri sebelum baling bola terakhir. Saya dah niat tak nak baling bola terakhir, saya nak tamatkan permainan dengan tiga balingan sahaja. Saya cakap dengan jurulatih perkara sama dan Alhamdulillah berjaya,” katanya.
Menurut Emma, kemenangan kali ini begitu bermakna selepas dua tahun disingkirkan daripada skuad kebangsaan akibat prestasi tidak menentu dan kecederaan sebelum kembali menyerlah pada tahun ini.
“Kalau ikutkan ini kali ketiga saya wakili negara tahun ini selepas dua tahun dikeluarkan. Saya perlukan kemenangan ini dan Alhamdulillah akhirnya saya berjaya,” ujarnya dengan nada sebak.
Jelasnya lagi, keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) menyingkirkannya sebelum ini memberi ruang kepada barisan atlet muda, namun Emma tidak pernah berputus asa dan terus berlatih untuk kembali ke tahap terbaik.
Emma yang pernah menjadi antara tonggak utama boling padang negara kini berazam untuk terus mengekalkan momentum menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 selain menyifatkan kejayaan di Bukit Kiara sebagai titik kebangkitan dalam kariernya.
“Saya akan terus berusaha untuk kekal konsisten ke Sukan Komanwel nanti. Perjalanan masih panjang, tapi kemenangan ini beri saya semangat baru untuk terus berjuang,” tambahnya. KOSMO! ONLINE

3 hours ago
6






![[VIDEO] Kucing teman penghantar makanan curi tumpuan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-hantaran-pengguna-TikTok-memaparkan-kucing-berwarja-oren-menemani-penghantar-makan-dipercayai-tuannya-mencari-rezeki..jpeg)










































