Tiga lelaki ditahan kes curi Honda Civic di pusat cuci kereta

7 hours ago 5

SEREMBAN – Polis berjaya menahan tiga lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan curi kenderaan kurang daripada 24 jam selepas menerima laporan kehilangan sebuah Honda Civic RS di Oakland, Seremban pada 19 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek dipercayai mencuri kunci kereta mangsa di pusat cuci kereta sebelum melarikan kenderaan tersebut dalam kejadian pukul 10 pagi.

“Bertindak atas maklumat, pada hari sama jam 5.30 petang, polis dari Unit Risikan Operasi IPD Seremban, telah menahan tiga lelaki berusia 34 hingga 48 tahun di Cheras, Selangor dan berjaya merampas kereta jenis Honda Civic yang dilaporkan hilang.

“Ekoran dari kejayaan tangkapan ke atas suspek, polis juga berjaya merampas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor pada 16 Mei lalu serta merampas peralatan khas mencuri kenderaan.

Antara barangan yang dirampas selepas tangkapan ke atas tiga suspek disyaki terlibat kes curi kenderaan di Oakland, Seremban pada 19 Mei lalu.

“Alatan dirampas antaranya, mesin programmer, peralatan pembuka kunci tambahan, mesin jammer, 12 pasangan nombor plate kenderaan, beberapa jenis kunci kenderaan, tujuh keping kad Touch ‘n Go serta pelbagai beg tangan berjenama,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad Hatta berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga, polis telah merampas tujuh peket disyaki dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba.

Katanya, daripada semakan rekod jenayah pula mendapati seorang suspek mempunyai 77 rekod jenayah lampau dan dua rekod dikehendaki atas kesalahan dadah dan curi kenderaan mewah di Kepong, Selangor.

“Seorang lagi suspek mempunyai 61 rekod jenayah lampau dan rekod masih dikehendaki atas kesalahan cubaan membunuh di Bentong, Pahang. Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya. Suspek kini ditahan reman selama empat hari. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |