‘Siapa nikah sebab elak zina, saya rasa mereka tak sedia nak kahwin’

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Pelakon Ashraf Muslim menasihatkan mana-mana individu yang ingin mendirikan rumah tangga agar melakukannya kerana Allah SWT bukannya atas dasar cinta terhadap pasangan semata-mata.

Ashraf, 44, berkata, niat tersebut penting kerana dapat membantu individu dan pasangan yang ingin berkahwinan mempunyai hala tuju hidup yang tepat.

“Setiap kali solat, apa perkara pertama yang kita buat? Niat kerana Allah SWT, begitu juga kalau nak kahwin.

“Kalau kahwin sebab nak elak zina, rumah tangga bahagia, cinta atau sayang, itu semua jawapan klise. Kalau siapa bagi jawapan itu, saya akan beritahu mereka tak bersedia untuk kahwin.

“Kalau nak kahwin kerana Allah, automatik mereka akan tahu tanggungjawab dan peranan yang perlu dilakukan sebagai suami isteri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media drama Mandul Bukan Pilihan di sini, baru-baru ini.

Tambah Ashraf, perkara tersebut nampak mudah tetapi mampu memberi impak besar terhadap sesebuah institusi perkahwinan.

“Perlu ada niat yang betul, nampak sangat ‘simple’ tetapi hakikatnya maknanya sangat mendalam.

“Sebab ramai orang muda sekarang kahwin kemudian cerai sebab tak fikir benda itu di peringkat awal,” ujarnya.

Jelasnya, bukan sahaja ingin mengelak sebarang perceraian tetapi nikmat dalam perkahwinan juga dapat dirasai sekiranya niat asal untuk mendirikan rumah tangga itu tepat.

“Perkahwinan indah bila Tuhan beri macam-macam aspek dalam kehidupan berumah tangga.

“Kalau niat nak bikah itu betul, pasti akan pasangan itu akan rasai nikmat dalam perkahwinan.

“Semuanya perlu dilakukan kerana Allah. Ikut sahaja apa yang Allah dan Nabi sudah suruh,” katanya lagi.

Sementara, dalam drama Mandul Bukan Pilihan, Ashraf melakonkan watak sebagai pakar sakit puan iaitu Dr. Elhan di samping pelakon lain iaitu Mira Filzah, Hun Haqeem dan Ayda Jebat.

Menerusi drama arahan Osman Ali tersebut, Ashraf perlu mempelajari pelbagai terma perubatan berkaitan pakar sakit puan.

“Saya banyak rujuk dengan pakar perubatan mengenai hal-hal berkaitan kesuburan lelaki, wanita termasuk jenis rawatan dan sebagainya.

“Banyak benda baru yang saya belajar walaupun sukar sebab kena jadi doktor dalam tempoh sebulan,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |