KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad mendedahkan kos pembinaan semula rumah pusaka milik keluarganya bagi dijadikan madrasah mencecah hampir RM500,000.
Malah, pemilik nama Ahmad Nabil Ahmad, 42, memaklumkan sedia menerima sumbangan orang ramai yang mahu bekerjasama membangunkan projek di atas sebidang tanah milik keluarga di Mambau, Negeri Sembilan.
“Tanah ini lebih kurang seluas satu ekar setengah dan saya akan guna sepenuhnya. Kos untuk membina madrasah termasuk penempatan ustaz, pelajar dan tempat orang datang mengaji sekitar RM500,000.
“Sekarang ini saya biayai sendiri tempat pembinaan itu tetapi insya-Allah nanti saya akan buka kepada sesiapa yang ingin turut serta (menyumbang).
“Apabila saya uar-uarkan saya mahu buka madrasah ramai yang mesej saya mahu turut serta,” katanya kepada Kosmo! Online, semalam.
Ditanya mengenai idea tercetusnya pembinaan madrasah, pengacara program realiti Gegar Vaganza (GV) itu berbuat demikian bagi memenuhi permintaan ibunya, Rohaizah Abdul Latiff yang ingin mencari ganjaran pahala berterusan.
“Ibu saya sering tanya mengenai madrasah sebab sekarang sudah lapan tahun dia menjalani rawatan dialisis.
“Dia juga risau sebab sudah tua jadi dia mahu buat bekalan untuk akhirat. Saya tengah cuba secepat mungkin untuk memulakan pembinaan madrasah ini.
“Impian saya kalau boleh mahu ibu lihat proses pembinaan sendiri. Jika umur dia panjang, saya nak dia tengok sampai madrasah itu didiami pelajar dan siap sepenuhnya,” ujarnya usai sidang akhbar The Chosen One Xtra X Jutawan Ekpress.
Sebelum ini, Nabil memaklumkan hasratnya menjadikan rumah milik keluarga sebagai madrasah iaitu tempat pengajian untuk mendalami ilmu agama Islam.
Dia juga sempat mengimbau kenangan lama dan menceritakan kembali suasana membesar di rumah terbabit bersama ahli keluarga lain.
Bercakap mengenai The Chosen One Xtra, Nabil akan bergandingan dengan pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah sebagai hos program berkenaan.
Rancangan tersebut bakal mencungkil bakat kanak-kanak bukan sahaja dalam nyanyian tetapi juga tarian, akrobatik dan kebolehan bermain instrumen muzik.
Musim ini kembali dengan barisan artis baharu sebagai jurulatih seperti Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju dan Loca B, Bunga Isme serta Naqiu.
The Chosen One Xtra akan bersiaran langsung bermula 25 Julai depan setiap Jumaat pukul 9 malam di saluran Astro Ceria dan Astro Ria. – KOSMO! ONLINE