- Oleh ROSALWANI CHE SOH
- 16 Julai 2025, 2:58 pm

KOTA BHARU – Seorang guru direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal melibatkan beberapa pelajar lelaki.
Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis daripada mangsa yang mendakwa guru tersebut melakukan amang seksual terhadap mereka.
“Kesemua laporan itu dibuat oleh beberapa mangsa yang berusia dalam lingkungan belasan tahun. Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek direman enam hari bagi membantu kes tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE