KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dalam satu temu bual, dua tahun lalu, tidak boleh dianggap menghina mahkamah.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Jamie Wong yang mewakili Isham atau nama penuhnya Hizatul Isham Abdul Jalil ketika dihubungi media hari ini.
Peguam itu turut memaklumkan, pihaknya menerima sesalinan notis rayuan bertarikh 15 Julai lalu melalui e-mel pada pukul 7.28 malam semalam.
Pada 8 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Isham pada temubual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?” hanyalah menyuarakan pendapatnya berdasarkan fakta dan perihal yang telah pun dibincangkan secara meluas di domain awam.
Hakim K. Muniandy dalam penghakimannya antara lain menyatakan, undang‑undang penghinaan terhadap mahkamah bukanlah untuk melindungi hakim dan maruah mereka, tetapi untuk melindungi hak orang awam dengan memastikan pentadbiran kehakiman tidak dihalang atau dicegah.
Selain itu, dalam permohonan yang difailkan, Hakim Muniandy menyatakan tidak wujud sebarang tindakan yang dilakukan oleh Isham bertujuan bertujuan menghalang atau mengganggu kelangsungan keadilan serta proses perundangan yang sah.
Tambahnya, pendekatan moden berkaitan dengan undang-undang penghinaan mahkamah ialah mahkamah lebih rela membiarkan serangan pendapat awam atau sebarang komen yang menjatuhkan reputasi kerana keadilan bukanlah sesuatu yang perlu dikurung tetapi perlu dibiarkan untuk menerima kecaman dan pujian.
Permohonan tersebut difailkan pada 28 Disember 2023 yang antaranya menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Rakaman temu bual itu disiarkan di laman media sosial facebook The Malaya Post pada 30 September 2023.
Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.
Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama antara lain telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan menggambarkan panel hakim yang mendengar telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.
Isham dalam temu bual sama turut menyatakan hakim bicara bagi kes SRC International iaitu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah bertindak secara berat sebelah ketika mendengar kes itu.
Menurut afidavit itu, kenyataan-kenyataan yang dibuat Isham pada temu bual itu mengandungi risiko nyata yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas badan kehakiman dan boleh dianggap sebagai gangguan ke atas pentadbiran keadilan.
Selain memohon Isham dikenakan hukuman penjara atau denda, Peguam Negara turut memohon perintah-perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah dan kos yang akan ditaksirkan kemudian. – KOSMO! ONLINE