Balisong hantar pesanan jangan cari dia

6 hours ago 3

SHAH ALAM – Seorang remaja warga Britain, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sempat menghantar pesanan kepada keluarganya agar tidak mencarinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesanan itu dibuat remaja berkenan menerusi e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.

“Antara kandungan e-mel tersebut adalah luahan Orang Hilang (Balisong) supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya.

“Selain itu, mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kata beliau, berdasarkan pesanan e-mel itu juga didapati remaja berkenaan tidak menyatakan bila akan pulang kepada keluarganya.

Jelasnya, seramai enam individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kehilangan remaja itu.

“Ini termasuk ibu remaja itu, pemandu dan kaunter bas, pekerja premis pertukaran wang asing dan anggota polis,” katanya.

Hussein menambah, siasatan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir remaja itu dikesan adalah di lobi KL Sentral, Kuala Lumpur dekat sini kira-kira pukul 10.09 pagi pada 7 Jun lalu.

“Setakat ini, tiada rekod remaja itu keluar daripada negara ini dan usaha mencarinya sedang giat dilakukan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.

Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.

Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas e-mel.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-736 9187. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |