‘Tinggal kucing depan klinik, akhirnya jadi santapan anjing’

9 hours ago 3

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang meninggalkan seekor anak kucing cedera di hadapan sebuah klinik berakhir dengan tragedi apabila haiwan tersebut menjadi mangsa serangan anjing liar.

Kejadian itu tular selepas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dimuat naik oleh pengguna Threads, @Raytan5218, memaparkan sebuah kereta berhenti di hadapan klinik berkenaan sebelum seorang lelaki keluar dan meletakkan kotak yang mengandungi anak kucing.

Difahamkan, lelaki tersebut menemui anak kucing itu dalam keadaan cedera dan tidak mampu untuk merawatnya, sehingga dia mengambil keputusan meninggalkannya di hadapan klinik dengan harapan haiwan tersebut mendapat bantuan.

Namun, sejurus selepas kereta itu berlalu, seekor anjing liar menghampiri kotak tersebut, mengeluarkan anak kucing itu dan menggigitnya.

“Tindakan ‘baik hati’ awak tinggalkan anak kucing depan klinik kawan saya, dah jadi santapan anjing,” tulis pemilik akaun tersebut di ruangan kapsyen.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan marah terhadap insiden itu.

“Kesiannya anak kucing tu, kena makan dengan anjing dekat situ,” kata seorang pengguna.

“Ayah kucing makan anak pun ada. Haiwan kan tiada akal, macam itulah kitaran hidup,” ujar Partibaan.

“Biarlah ini jadi pengajaran supaya jangan buang anak kucing dalam kotak merata-rata,” komen pengguna lain.

Namun, ada juga netizen yang mempertahankan tindakan lelaki tersebut yang meninggalkan haiwan berkenaan di depan klinik.

“Dia jumpa kucing itu di jalan, dalam keadaan cedera. Dia cuba bantu setakat yang dia mampu. Letak dalam kotak jauh lebih selamat daripada dibiarkan di jalan. Malangnya, anak kucing tak bernasib baik bila jumpa anjing liar yang kelaparan,” kata Meor.

“Semua komen seolah-olah lelaki itu memang nak anjing itu bunuh anak kucing. Dia sebenarnya ingat dia buat benda yang betul dengan tinggalkan kucing depan klinik. Mana lah dia nak tahu anjing itu nak datang,” komen Candi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |