- Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
- 16 Julai 2025, 4:41 pm

KLANG – Sebuah lagi pusat hiburan yang disyaki menjadi lokasi transit wanita asing menawarkan khidmat seks digempur pihak berkuasa di sekitar daerah ini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 6 petang itu dilakukan sepasukan Unit Risikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Selangor menerusi maklumat dan aduan awam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya menahan 11 wanita disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO) dan seorang lelaki warga asing.
‘Ketika serbuan terdapat beberapa cubaan melarikan diri dan berpura-pura sebagai warga tempatan.
Pusat hiburan itu dipercayai beroperasi bermula pukul 2 petang bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Premis ini disyaki menjadi transit GRO untuk khidmat seks dengan bayaran RM800 hingga RM1,200. Gadis yang tiada langganan akan bergerak bebas di situ pada waktu malam,” katanya hari ini.
Tambah Jafri, kesemua tangkapan berusia 19 hingga 40 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE