GEORGE TOWN – Ibu bapa dan waris Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Jalan Tengah di sini, buat julungnya diberi peluang menghiasi khemah rumah sukan anak mereka mengikut kreativiti tersendiri termasuk menggunakan bahan-bahan terbuang.
Rata-rata mereka mengambil masa selama tiga hari, bermula kelmarin bagi menyiapkan khemah bertemakan ‘Superhero’ sempena Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kali Ke-39 yang berlangsung esok.
Guru Besar SK Seri Permai, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata, kejohanan sukan kali ini menjadi sejarah buat sekolah apabila ia melibatkan penyertaan ibu bapa murid-murid sesi pagi dan petang.
“Kami tidak sangka dapat sambutan hebat dalam kalangan ibu bapa dan waris. Sebelum ini, ia hanya dikendalikan oleh guru-guru rumah sukan.
“Komitmen dan kerjasama yang diberikan mereka sangat dipuji. Malah, kami difahamkan ada yang pakat kumpul wang sehingga mencecah lebih RM2,000 semata-mata untuk mendekorasi rumah sukan anak-anak mereka,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, penilaian khemah akan dibuat oleh juri pada petang ini dan pemenangnya akan diumumkan esok.
Selain itu katanya, pihak sekolah juga turut memberi peluang kepada golongan ibu bapa menjana pendapatan sempena kejohanan sukan sekolah.
“Pihak sekolah ada menetapkan beberapa syarat termasuk menetapkan harga makanan dan minuman di bawah RM3 dan RM2 termasuk perlu mempamerkan harga jualan.
“Inisiatif ini bertujuan membantu ibu bapa menambah pendapatan selain mereka dapat memperkenalkan menu sendiri kepada pengunjung yang hadir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE