KUALA LUMPUR – Tiga pelumba muda yang juga adik-beradik daripada pasukan M8 Racing Team mencuri tumpuan apabila turun membuat penampilan sulung dalam RCB Minimoto Championship 2025 yang dijadual berlangsung di Horizon Beranang Circuit (HBC) bermula hari ini hingga 25 Mei.
Beraksi dalam kategori enam hingga sembilan tahun, trio adik-beradik tersebut, Wan Ayden Maleeq Wan Muhd Muzri (Maleeq Dragster), Wan Faith (Mikael) dan Wan Adra (Mikayla) hadir dengan semangat tinggi untuk mencabar kejuaraan dalam penampilan sulung mereka.
Menurut pengurus kejohanan, Zulfahmi Khairuddin, yang juga bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, kehadiran tiga beradik itu menunjukkan perkembangan positif dalam pembangunan bakat muda sukan permotoran negara.
“Minimoto adalah laluan terbaik buat pelumba pushbike melangkah ke sukan bermotor. Kategori 40cc ini cukup sesuai untuk membina asas kawalan, teknik dan daya saing sejak kecil.
“Apapun, kehadiran tiga beradik dalam kejohanan ini sangat baik. Mereka juga sangat konsisten. Kunci utama pelumba laju ialah latihan tanpa henti. Pengalaman pushbike memberi kelebihan dari segi kestabilan dan kawalan,” katanya yang kini menguruskan pasukan ZK Racing.
Sementara itu, bapa kepada ketiga-tiga pelumba tersebut, Datuk Muzri dari M8 Malaysia menjelaskan, penyertaan kali ini lebih menjurus kepada pendedahan awal sebelum bersaing secara serius pada musim depan.
“Sasaran asal saya adalah tahun depan, tetapi apabila ZK Racing buka peluang pemilihan kali kedua, saya lihat mereka bersedia dari segi mental dan fizikal. Kami ambil keputusan beri pendedahan lebih awal.
“Menyertai minimoto sebenarnya saya agak takut kerana kelajuan dalam sukan permotoran yang mungkin menyebabkan kecederaan serius tetapi ZK Racing amat menitikberatkan aspek keselamatan.
“Perlumbaan ini turut mendapat kelulusan MAM dan disokong oleh KBS serta Kementerian Pendidikan. Ia memberi keyakinan kepada kami sebagai ibu bapa,” ujarnya.
Sebanyak 16 pelumba muda bakal berentap dalam kategori tersebut hujung minggu ini, menjadikan saingan lebih terbuka dan sengit sekaligus membuka ruang kepada lebih ramai bakat muda mencipta nama di arena permotoran negara.