ALOR SETAR – Dua anggota polis merupakan antara lima suspek yang diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes samun warga asing di sebuah rumah di Padang Sera, Kodiang dekat sini, bulan lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes samun itu pada 27 Jun lalu.
“Mangsa bersama lima lagi rakan serumah yang merupakan warga asing telah didatangi lima suspek yang memakai vest polis dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis kira-kira pukul 12.20 tengah malam.
“Kesemua suspek kemudian masuk ke dalam rumah mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan telefon bimbit sebelum menggeledah barangan di dalam rumah. Suspek-suspek didakwa mengambil wang tunai RM1,750 milik semua mangsa lalu beredar,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, semua suspek terlibat kemudian berjaya ditahan sekumpulan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kawasan tersebut kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Bertindak atas maklumat dan laporan polis yang diterima, sepasukan polis pergi ke lokasi dan mendapati dua daripada suspek merupakan anggota polis yang masih bertugas di sebuah balai polis di Perlis, manakala tiga lagi adalah orang awam.
“Kita merampas dua kad kuasa polis, empat vest polis, tiga unit gari, satu unit lampu suluh, dua topi berwarna hitam, lima telefon bimbit dan wang tunai RM600,” ujarnya.
Menurutnya, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua suspek turut terlibat dalam dua lagi kejadian samun berasingan di Kodiang,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek telah dituduh di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 170 KK di Mahkamah Majistret Jitra dan Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi dua kes yang disiasat, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan.
Sementara itu, dalam kes berasingan, kata Adzli, seorang lagi anggota polis berusia 26 tahun ditahan kerana disyaki menyamun sebuah keluarga etnik Rohingya di sebuah rumah di Jalan Langgar, di sini pada 1 Julai lalu.
“Suspek didakwa pergi ke rumah itu dengan menaiki skuter dan memperkenalkan sebagai anggota polis sambil menunjukkan pakaian polis yang dipakai di dalam jaket.
“Dia kemudian meminta mangsa menyerahkan kad UNHCR milik mangsa, isteri dan tiga anaknya serta merampas telefon bimbit. Dia seterusnya merampas dengan membuka sepasang subang emas dari telinga isteri mangsa,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian menyerahkan semula kad UNHCR serta telefon bimbit mangsa sebelum beredar dari situ. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
6















































