PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelajar yang terlibat dalam insiden membakar karikatur beliau tidak akan dikenakan sebarang sekatan akademik.
Perkara itu disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Jelas Tunku Nashrul, arahan Perdana Menteri itu disampaikan terus kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurutnya, ia sebagai tanda bahawa Kerajaan Madani mengutamakan ihsan dan kebebasan bersuara, khususnya di kalangan anak muda.
“Masa depan pelajar tidak wajar dikorbankan hanya kerana perbezaan pandangan,” tegas Perdana Menteri.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri sebagai aktivis mahasiswa dan reformis sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
*YAB Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu, beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.
Pada masa sama katanya, Perdana Menteri turut menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.
“Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,”ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan, sekumpulan pelajar di Sabah bertindak membakar poster Perdana Menteri sebagai protes terhadap gejala rasuah.-KOSMO! ONLINE