KUALA KANGSAR – Harga durian komersial popular seperti Musang King, IOI serta Duri Hitam disifatkan masih stabil, di sebalik isu penyusutan harga buah itu ketika ini.
Menurut komuniti pekebun durian di sini, kejatuhan harga ‘raja buah’ itu lebih melibatkan varian seperti durian Kampung.
Ketua kumpulan tersebut, Mohamad Kamal Noh Safiee berkata, perihal kejatuhan harga itu perlu diterangkan mengikut jenis durian dan bukannya merangkumi semua varian dan gred buah.
“Musang King tiada lagi berlaku lambakan. Sebaliknya situasi itu lebih berlaku kepada durian Kampung. Fakta kejatuhan harga ini perlu diperincikan mengikut jenis dan gred buah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tentang lambakan bekalan sehingga menyebabkan harga buah popular Malaysia itu dijual serendah RM1 sekilogram.
Mengenai dakwaan kemerosotan harga Musang King, Mohamad Kamal Noh berkata hal sedemikian mungkin berlaku terhadap buah Musang King yang bukan kategori premium atau tidak menepati piawaian yang ditetapkan.
Beliau yakin bahawa harga durian boleh kembali stabil menerusi pengurusan semula kaedah pertanian untuk musim seterusnya.
Mengulas dakwaan kehadiran buah dari Thailand yang menurunkan harga pasaran, beliau berkata tiada bukti jelas untuk menyatakan perkara tersebut memandangkan ramai peniaga tidak membuat pelabelan asal-usul buah yang dijual.
“Kita mencadangkan supaya pihak berkuasa mempunyai sistem penjejakan bagi mengenal pasti sumber asal buah. Jika tiada pelabelan, dikhuatiri berlaku pencampuran buah Malaysia dan Thailand yang dijual,” katanya.
Sementara itu, komuniti pekebun tersebut mahu kerajaan menjadikan durian sebagai buah kebangsaan kerana buah itu sering dihidangkan kepada tetamu dan kenamaan asing dalam hubungan diplomasi. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
1












![[VIDEO] Janji hidup lebih baik, bekas guru tadika didakwa terima hasil haram](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/AKTIVITI-HARAM.jpeg)




































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)