SHAH ALAM – “Maruah saya seperti dipijak ‘gila-gila’ dan masih trauma sehingga kini,”.
Itu luahan pempengaruh, Siti Jamumall, 26, yang menafikan penceraian kali keduanya menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok minggu lalu hanya gimik pemasaran semata-mata.
Menurut pemilik nama sebenar Siti Suriani Wahiddin itu, situasi ketika insiden berkenaan diakui tidak terkawal hingga menyebabkan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus, 26, melafazkan cerai.
“Tiada siapa pun mahu diceraikan seumpama itu seolah-olah saya tiada maruah langsung. Hanya kami berdua tahu keadaan dalam ‘kain’ kami. Apa yang berlaku telah pun berlaku dan cukuplah sekadar itu,” katanya sebak ketika ditemui pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Setia Alam di sini, malam tadi.
Semalam, Mahkamah Rendah Syariah di sini, menetapkan 21 Julai depan bagi sebutan kes tuntutan pengesahan lafaz cerai pasangan pempengaruh itu yang tular pada 15 Mei lalu.
Khairul Aiman atau dikenali sebagai Aiman Tak Kesah yang memfailkan tuntutan itu memaklumkan bahawa sama ada kembali rujuk atau tidak bergantung kepada keputusan mahkamah kelak.
Mengulas lanjut, kata Siti Suriani, dia telah dimaklumkan mengenai tarikh sebutan kes itu dan bersedia menerima segala keputusan.
“Saya kini berlapang dada dan diberi masa untuk bertenang serta bermuhasabah diri. Kalau betul jatuh talak, saya terima keputusan itu dan perlu meneruskan kehidupan seperti biasa bersama keluarga dan anak-anak,” ujarnya yang sedang hamil lima bulan.
Siti Suriani berkata, dia bersyukur apabila disahkan hamil anak perempuan selepas melakukan pemeriksaan di sebuah klinik beberapa hari lalu.
“Saya dan Aiman memang mahukan cahaya mata perempuan. Biarpun menghadapi dugaan, saya yakin bayi dalam kandungan amat kuat dan turut berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE