SEGAMAT – Punca utama kemalangan maut yang mengakibatkan sebuah Toyota Hilux terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di percayai akibat terlanggar bahagian belakang kanan sebuah kenderaan lain di KM 173, Jalan Johor Bahru – Seremban berdekatan Kampung Kwongsai di sini lewat petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihak polis menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.50 petang semalam mengenai kejadian yang melibatkan tiga buah kenderaan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh Mohd Fitri Md. Said, 37, bersama lima ahli keluarganya semasa cuba memotong telah terlanggar bahagian belakang kanan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang di pandu seorang lelaki tempatan berumur 30-an.
“Kemudian, kenderaan Toyota Hilux dipandunya terlanggar bahagian belakang kanan sebuah lagi kenderaan jenis MPV dipandu seorang wanita tempatan berumur 30-an bersama dua penumpang yang berada di hadapannya lalu terbabas masuk ke dalam ladang sawit di tepi kanan jalan.
“Dalam kejadian ini, Mohd Fitri serta anak perempuannya, Nurin Insyirah Mohd Fitri, 9, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan pada tangan kiri dan dirawat di Hospital Segamat selepas kejadian,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Ahmad Zamry, semua pemandu dan penumpang lain yang terlibat dalam kemalangan ini tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ujar beliau, ke semua kenderaan bergerak dari arah Labis menghala ke arah Segamat sewaktu kejadian dan kes telah disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan, boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811,”katanya.