KUALA LUMPUR – Gandingan No.1 dunia yang baharu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengetuai kem beregu lelaki negara meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura hari ini, Sze Fei-Izzuddin tidak berdepan banyak masalah untuk membenam cabaran pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dengan kemenangan 21-13, 21-11.
Bagaimanapun, kemenangan sememangnya sudah dijangka memandangkan beregu profesional itu sudah memiliki rekod lima kemenangan ke atas pasangan Taiwan berkenaan dalam enam pertemuan terdahulu.
“Strategi kami memang berjalan dengan baik tadi dan saya itu mungkin daripada persiapan kami yang lebih baik. Angin memang agak kuat tetapi kami lupakan mengenai itu dan foku untuk keluarkan aksi sendiri.
“Kami sentiasa percaya dengan proses dan terima kasih kepada pasukan serta penaja kerana tanpa mereka, kami tidak akan berada di sini (No.1 dunia),” kata Sze Fei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Menanti Sze Fei-Izzuddin di pusingan kedua esok adalah rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King yang mara selepas menewaskan beregu Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi dengan keputusan 21-13, 21-18.
Pertembungan itu sekali gus sudah menjamin satu slot buat wakil Malaysia di pusingan suku akhir Jumaat nanti.

Turut melangkah ke pusingan kedua adalah juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan cabaran beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 21-19, 24-22.
Juara Malaysia Masters minggu lalu, Man We Chong-Tee Kai Wun juga meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan dengan aksi straight set 21-18, 21-19. – KOSMO! ONLINE