Terbabas, lawan arus, samseng jalanan hilang arah masuk jerat polis

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penunggang motosikal termasuk pelesit rempit yang berlagak ala samseng jalanan hilang arah apabila termasuk perangkap polis di Jalan Ampang, awal pagi tadi.

Malah, aksi seorang lelaki yang cuba berpatah balik hanya mengundang padah apabila merempuh pembahagi jalan sebelum terbabas setelah dikepung pihak berkuasa.

Lelaki berusia 20-an itu, mengakui panik apabila menyedari terdapat sekatan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Dataran Merdeka.

Selain itu, cubaan berbahaya itu turut dilakukan oleh seorang remaja perempuan dengan menunggang motosikal melawan arus gara-gara tidak mempunyai lesen memandu.

Ketika diperiksa, remaja berusia 16 tahun itu juga didapati tidak membawa kad pengenalan diri dan mengakui keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Saja nak keluar kejap, pusing-pusing dengan kawan dan saya tahu salah (lawan arus), tapi saya tak nak kena tahan,” katanya yang menetap di Setapak.

Dua individu itu antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula pukul 10.30 malam hingga 4.30 pagi.

Dua lagi lokasi sekatan jalan raya turut dilaksanakan di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, sebanyak 55 motosikal dan sebuah kereta disita dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas 1,300 motosikal, sebanyak 939 saman dikeluarkan atas kesalahan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta tiada cukai jalan.

“Dipercayai kumpulan motosikal ini akan melalui sekitar Kuala Lumpur dengan membuat bunyi bising ekzos sehingga menganggu ketenteraman awam,” katanya.

Mohd. Zamzuri berkata,Jalan Ampang, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak serta Lebuh Raya Duta Ulu Kelang Expressway (DUKE) merupakan antara lokasi hotspot samseng jalanan yang dikenal pasti.

“Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan sebanyak 206 saman sepanjang operasi” tambahnya.

Mohd. Zamzuri menegaskan, orang ramai termasuk ibu bapa diingatkan untuk memantau pergerakan anak-anak agar mengambil iktibar dan memastikan keadaan motosikal diselenggara dengan baik.

Katanya, operasi ini bukan semata-mata untuk Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini sebaliknya, hampir setiap malam tindakan serta operasi dilaksanakan di lokasi tumpuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |