Temasya Orang Kedah 2026 tarik 550,000 pengunjung

22 hours ago 5

ALOR SETAR – Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 terus mendapat sambutan luar biasa apabila dianggarkan 550,000 pengunjung membanjiri pekarangan Stadium Darul Aman, di sini sejak penganjurannya pada Khamis lalu dan berakhir malam ini.

Temasya kali keenam itu dian­jurkan Kementerian Pelanco­ngan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Tourism dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd.

Dengan slogan ‘pakat mai me­neqhu’, TOK mengetengahkan ke­­unikan seni, budaya, wari­san, gas­tronomi dan gaya hidup ma­syarakat Kedah bagi menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta merancakkan pe­lancongan budaya negara.

Ketua Setiausaha MOTAC, Da­­tuk Shaharuddin Abu Sohot ber­kata, Kalendar Pelancongan Bu­­daya sempena VM2026 bagi se­­tiap negeri telah disusun sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan negara melalui pengisian seni, budaya dan warisan.

‘TOK merupakan program di bawah Pelancongan Budaya yang ketujuh anjuran MOTAC melalui JKKN pada tahun ini.

“Langkah strategik ini bertujuan mengangkat kebitaraan seni tempatan sebagai produk pelancongan berimpak tinggi yang bukan sahaja berupaya menjana pulangan ekonomi, malah berperanan sebagai medium pendidikan, promosi serta pengukuhan identiti seni dan budaya negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TOK 2026 di sini malam kelmarin.

TENGKU SARAFUDIN BADLISHAH (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Temasya Orang 2026 di pekarangan Stadium Darul Aman kelmarin. – SHAHIR NOORDIN

Raja Muda Kedah, Tengku Sa­rafudin Badlishah Sultan Sal­­le­huddin berkenan me­nyem­pur­na­­kan majlis perasmian temasya tersebut. TOK menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti per­sembahan kesenian, pame­ran pelbagai agensi, permainan tradisi orang dulu-dulu serta de­monstrasi dan jualan makanan tra­disi.

Kata Shaharuddin, kemente­rian amat menghargai keterbuka­an dan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan usaha pelestarian seni, budaya dan wa­risan agar terus dilaksanakan secara berterusan.

“Komitmen ini turut dizahirkan menerusi pemerkasaan wa­risan seni negeri seperti Teater Tradisional Mek Mulung yang te­lah mendapat pengiktirafan Per­tubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlin­dungan Segera pada 2023,” ujar­nya.

Menurutnya, sebagai mani­fes­tasi sokongan berterusan ­MO­TAC, sebanyak 17 pertubuhan bu­kan kerajaan kebudayaan di negeri ini telah menerima manfaat daripada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM895,000 pada tahun lalu.

Sementara itu, pada sidang akhbar, beliau berkata, kehadi­ran pengunjung termasuk dari da­lam dan luar negara amat me­nggalakkan sejak hari pertama penganjuran TOK 2026.

“Temasya Orang Kedah ini me­­rupakan antara produk pelanco­ngan domestik yang kita jadikan sebagai acara ikonik atau signature event negeri Kedah. Melalui program seperti ini, kita dapat menggalakkan rakyat melancong dalam negara, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penganjuran TOK merupakan manifestasi kecintaan terhadap warisan seni budaya yang diwariskan turun temurun. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |