Teka-teki terjawab, Elite buat konsert pada 20 September depan

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan fenomena pada konsert GenKRU, kumpulan Elite bakal mengubat rindu peminat dengan sebuah konsert Elite Live’25 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 20 September depan.

Lebih mengujakan, konsert istimewa itu bakal menggabungkan lima ahli kumpulan asal Elite iaitu Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar.

Menurut Azza, konsert berskala mega pertama Elite itu tercetus selepas melihat keterujaan dan sambutan peminat selepas muncul sebagai penyanyi jemputan di konsert GenKRU pada Mei lalu.

“Impak kami muncul di konsert abang-abang kami itu sangat kuat. Itu yang buat kami berlima dapat inspirasi untuk adakan konsert istimewa ini.

“Kami bukan nak bertanding sesama sendiri untuk buktikan siapa lebih hebat tetapi sekadar nak memeriahkan industri hiburan dan mengisi permintaan daripada peminat Elite,” katanya pada sidang media konsert tersebut di sini, hari ini.

Tambah Azza, mereka juga turut dipelawa beberapa penganjur lain untuk mengadakan konsert selepas kemunculan mereka pada konsert KRU.

“Kami pernah ditanya penganjur lain selepas GenKRU tetapi sebab reputasi Iman dan Icon Entertaiment, kami setuju.

“Sangat terharu dengan layanan Iman dan disebabkan itu juga kerjasama serta projek ini berlaku dengan lancar,” katanya lagi.

Sementara Abby, 47, pula berkata, dia tidak sabar untuk menghiburkan para peminat yang akan hadir selain membawa mereka mengimbau momen manis zaman 1990-an.

“Segala-galanya berlaku di luar jangkaan, bila Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang tawarkan sesuatu untuk imbau nostalgia, kami rasa seronok sebab nak bawa memori zaman 1990-an itu.

“Insya-Allah kami akan cuba beri terbaik kepada yang menanti saya sangat teruja,” jelasnya.

Bagi Iman, penganjuran Elite Live’25 merupakan projek yang telah melalui beberapa fasa penelitian, perancangan dan perlaksanaan yang semuanya tidak dilakukan secara sambil lewa.

“Elite Live’25 bukan penganjuran tangkap muat kerana saat ini konsert sedang hype’ tetapi melihat betapa relevan girl band ini untuk melakukan konsert berskala besar yang sepadan dengan kewujudan mereka.

“Konsert ini akan menjadi sejarah penting bukan hanya kepada kumpulan ini tetapi industri muzik amnya kerana karya-karya hebat yang diciptakan pada tahun 90-an misalnya masih menjadi kegemaran ramai,” ujarnya.

Tiket konsert Elite Live’25 bakal mula dijual bermula Khamis depan pada pukul 2 petang menerusi www.ticket2u.com.my/elite.

Harga tiket pula bermula RM268 bagi kategori Tamparan Wanita dan Catwalk, RM588 (Manisnya Senyumanmu) dan RM1088 (GIG). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |