SELAYANG – Seramai 300 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) barpeluang menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan antara inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menarik minat pelajar cemerlang terlibat dalam bidang perguruan.
“KPM sedang melaksanakan usaha untuk memberikan tajaan biasiswa kepada lepasan STPM yang cemerlang.
“Jadi kita perlu fokus kepada bakat, kompetensi pelajar yang mencapai keputusan STPM cemerlang untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ‘Malaysian University English Test’ (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2024 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, hari ini.
Selain itu katanya, KPM turut memperkenalkan inisiatif dermasiswa dengan rakan strategik korporat Farm Fresh.
“Inisiatif berkenaan menawarkan bantuan biasiswa RM100 sebulan kepada pelajar Tingkatan 6 dalam golongan B40.
“Mudahan dengan keputusan dan insentif yang lebih baik, kita akan dapat tingkatkan kualiti pelajar pada tahun akan datang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain katanya, Majlis Tingkatan Enam akan diperkenal menjelang Oktober depan sebagai platform suara pelajar prauniversiti.
“Ia bertujuan untuk mengukuhkan kepimpinan pelajar Tingkatan 6. Kemudian, ia akan menjadi suara kepada pelajar Tingkatan 6.
“Yang pasti, mereka akan lebih dekat dengan KPM dan Menteri kerana Majlis Tingkatan 6 ini akan berada di bawah KPM sendiri,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE