Tarikh lihat anak bulan Zulhijah ditetapkan 27 Mei

5 hours ago 1

PETALING JAYA – Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada sebelah petang, 27 Mei bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah di 29 lokasi terpilih seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan memaklumkan, penetapan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diisytiharkan pada malam hari sama melalui siaran radio serta televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang Selasa, 27 Mei 2025 bersamaan 29 Zulkaedah 1446 Hijrah.

“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Awal Zulhijah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyenaraikan lokasi yang dikenal pasti untuk melihat anak bulan Zulhijah tahun ini ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; dan Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan.

Selain itu, Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; lPantai Pasir Panjang, Manjong, Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi di Kedah ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; serta Menara Alor Setar, Alor Setar; manakala di Terengganu pula Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Di Kelantan, melibatkan Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Pusat Falak Bintulu.

Lokasi melihat anak bulan Zulhijah di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; manakala di Pahang pula Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Brinchang, Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.

Sementara itu, turut menjadi lokasi terpilih ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |