Tarik subsidi bahan api kepada 4 juta warga asing – PM

4 hours ago 1

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar bukan sahaja golongan maha kaya ditarik subsidi bahan api, tetapi juga kepada kira-kira 4 juta warga asing yang di negara ini.

Menurut beliau, ketika ini turut menikmati subsidi bahan api bernilai antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

“Sebelum ini ada cadangan naikkan harga minimum bahan api, tetapi saya dan jemaah menteri tidak bersetuju. Sebaliknya yang perlu dibuat adalah naikkan harga bahan api kepada warga asing.

“Mana ada mana-mana negara di dunia yang memberikan subsidi bahan api kepada warga asing berkenderaan, kepada individu kaya yang memakai kenderaan Rolls-Royce.

“Oleh itu saya minta rakyat jangan menolak usaha kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api, mungkin kad pengenalan boleh digunakan,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu turut memberi jaminan langkah tersebut tidak akan memberi kesan kepada majoriti rakyat Malaysia, kecuali golongan maha kaya.

Sementara itu, beliau yang juga Presiden PKR turut memuji pelaksanakan kadar gaji progresif serta Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi penjawat awam telah membantu meningkatkan imej dan penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kajian yang dibuat terhadap kira-kira 1.4 juta penjawat awam menunjukkan ada penangkapan sokongan terhadap kerajaan dalam golongan penjawat awam, termasuk polis dan tentera.

“Jika jumlah 1.4 juta itu didarabkan dengan tiga, maka sejumlah besar masyarakat Melayu sudah beralih dengan mempunyai pandangan positif terhadap kerajaan hari ini. Tahniah saya ucapkan kerana mereka melihat perkara ini daripada sudut positif,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |