PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan akan berlari dari Istana Kehakiman di Putrajaya ke bandar Muar Johor sebagai tanda kesyukuran dibebaskan daripada sabitan dan hukuman dihadapinya, Isnin lalu.
Larian kesyukuran sejauh lebih 170 kilometer (km) itu dijangka dilakukan selepas sidang Dewan Rakyat, Khamis ini dengan jangkaan tiba pada Sabtu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam satu siaran langsung bersama tunangnya, pelakon dan penyanyi Bella Astillah di TikTok memberitahu, larian tersebut juga sebagai tanda penghargaan sokongan tidak putus-putus orang ramai terutama warga Muar kepadanya.
Katanya, satu program penyerahan sumbangan antara ya penyerahan iPad dan biasiswa berjumlah RM500,000 kan dilakukan setibanya dirinya di Muar.
“Sertai kami dari Istana Kehakiman ke Muar dan insya-Allah di Muar kita akan sampaikan sebanyak bantuan yang boleh. Itu tanda kesyukuran kepada warga Muar,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mengumumkan mereka telah mempunyai tarikh bagi melangsungkan perkahwinan tetapi perlu dirahsiakan terlebih dahulu bagi menghormati banyak pihak.
Dalam pada itu Bella mendedahkan tunangnya akan memakai tali leher pemberiannya setiap kali menghadiri prosiding mahkmah.
“Sebenarnya saya tak perasan, tapi YB (Syed Saddiq) kerap tanya cantik tak ‘tie’ ini. Rupanya itu saya yang bagi,”katanya.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati pengumuman gembira tersebut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.
“YB (Syed Saddiq) baru saja umum nak buat larian kesyukuran dari Putrajaya sampai ke Muar, anggaran dalam 150km. Tak sabar!,” kata pengguna TikTok dikenali sebagai Ayoe.
“Ingatkan nak umum tarikh, rupanya nak ‘Run’ Kesyukuran dari Putrajaya ke Muar. Syed Saddiq dan larian berpisah tiada,” ujar Syu Zahari.
Pada 13 Julai lalu, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan.
Pembebasan itu menamatkan prosiding kes yang dihadapinya selepas beliau sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi. -KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3















































