PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri dan isterinya bagi merakam percakapan berhubung siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Bagaimanapun, menurut sumber, Tan Sri berkenaan tidak hadir hari ini atas alasan masalah kesihatan.
Selain itu, SPRM dijangka memanggil antara 30 hingga 50 orang saksi untuk membantu siasatan selain meneruskan siasatan mengesan aset milik Tan Sri dan isterinya di dalam dan luar negara.
Terdahulu, enam kediaman mewah serta sebidang tanah lot bernilai RM12 juta dipercayai milik Tan Sri tersebut disita SPRM hari ini susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Sitaan itu susulan penggeledahan Bahagian Siasatan SPRM di enam kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara.
“Menerusi penggeledahan itu, selain menyita enam buah kediaman mewah serta sebidang tanah lot yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM12 juta, SPRM turut menemui kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit yang disyaki dibeli menggunakan wang sukuk,” katanya.
Semalam, SPRM telah menyita pelbagai aset melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan berjumlah kira-kira RM32 juta milik individu sama.
Dalam operasi itu juga, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM menjelaskan, kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. – KOSMO! ONLINE