KUALA LUMPUR – Impian beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk melangkah ke pentas final Malaysia Masters 2025 akhirnya menjadi kenyataan selepas mencipta kejutan menewaskan pasangan pilihan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, menerusi kemenangan straight set di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kelima kejohanan, gandingan negara itu tidak berdepan masalah menundukkan pasangan di ranking ke-20 dunia itu dalam pertembungan ketiga mereka sekali gus membalas dendam atas dua kekalahan terdahulu.
Dalam aksi separuh akhir itu, Wei Chong-Kai Wun yang kini menghuni ranking ke-8 dunia, memperagakan permainan agresif sepanjang perlawanan tersebut untuk mencatat kemenangan 21-12, 21-14 dalam tempoh 31 minit.
“Saya rasa kekalahan dua kali itu ke mereka mungkin berlaku dua tiga tahun lalu. Jadi kami tidak fikir tentang masa lalu. Kami main ikut apa yang kami latih sekarang dan kekalkan prestasi.
“Bagi saya, taktikal turun dengan agresif memang penting sebab shuttle hari ini agak laju. Kalau kita turut dengan corak permainan yang perlahan mungkin mereka (Takuro Hoki-Yugo Kobayashi) dapat peluang dan tekan kita balik,” kata Kai Wun selepas tamat perlawanan.
Aksi bertenaga yang dipamerkan membuktikan peningkatan prestasi mereka sejak awal musim, termasuk kejayaan menjulang gelaran Indonesia Masters 2025 pada Januari lalu.
Dalam kejohanan di Jakarta itu, mereka mencipta sensasi apabila menewaskan beregu tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dengan kemenangan straight set 21-11, 21-19 di pentas akhir.
Kejayaan mara ke final Malaysia Masters ini turut dianggap sebagai lonjakan semangat buat Wei Chong-Kai Wun dalam usaha menambah gelaran kedua mereka musim ini.
Hasil kemenangan tersebut, mereka bakal berdepan ujian getir di final menentang sama ada pasangan profesional negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, atau gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, yang akan beraksi dalam satu lagi separuh akhir. -KOSMO! ONLINE