Tak sempat bebas, wanita dijel semula kerana jadi keldai akaun

8 hours ago 6

MUAR – Hari gembira buat seorang banduan wanita yang sepatutnya dibebaskan hari ini bertukar duka apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan selepas dia didapati bersalah menjadi keldai akaun, tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Mazidah Badrol, 34, sebelum ini diperintahkan menjalani hukuman penjara selama enam bulan selepas didakwa di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan atas kesalahan sama.

Hakim Sayani Mohd. Nor menetapkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara tidak langsung terlibat dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM8,900 ke dalam akaun Maybank yang didaftarkan di atas nama syarikat Accurate Securities Analysis Sdn. Bhd. yang merupakan miliknya tanpa tujuan yang sah.

Perbuatan itu dilakukan sekitar pukul 11.15 pagi di sebuah rumah beralamat di Jalan Payamas, Taman Sentosa dalam daerah Tangkak pada 31 Disember 2024.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman pemenjaraan diberikan dari tarikh dia ditangkap iaitu 10 May 2025 kerana mempunyai seorang anak yang masih kecil, selain perlu menjaga ibu mentua menghidap kanser.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada masyarakat dan juga mengambil kira keseriusan jenayah scammer pada hari ini.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah menetapkan hukuman penjara selama tujuh bulan dan memerintahkan ia berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |