DIUNDI bertemu bekas pasangan No. 1 dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura hari ini bukan satu masalah besar buat beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri.
Sebaliknya, gandingan No. 41 dunia itu sedia menjadikan pertemuan tersebut sebagai medan menguji kemampuan diri bertemu salah satu gandingan terbaik dalam acara tersebut.
Haikal berkata, dia dan Hon Jian hanya perlu menampilkan aksi seperti biasa memandangkan tekanan berada di pihak gandingan No. 27 dunia itu yang pastinya akan turun sebagai beregu pilihan.
“Sebenarnya bukan nak cakap rasa yakin atau apa kerana apa yang penting, kami main sahaja seperti biasa. Saya cakap begitu kerana ini salah satu peluang untuk kami lawan dengan beregu (ranking) atas.
“Tekanan bukannya berada di pihak kami, sebaliknya mereka. Bagi saya, kami hanya akan keluarkan aksi terbaik dan gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya yang menamatkan Malaysia Masters minggu lalu di pusingan kedua.
Pada pusingan kedua Malaysia Masters, Hon Jian-Haikal mendapat pengalaman cukup berharga apabila bertemu bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi walaupun tewas 14-21, 13-21.
Sementara itu, Hon Jian optimis dengan kemampuan untuk mencipta kejutan ke atas gandingan Shetty-Rankireddy sekiranya mampu mengeluarkan permainan diterapkan ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi.
“Mereka beregu yang kuat kerana pernah bergelar No. 1 dunia. Apabila masuk ke gelanggang, kami hanya perlu keluarkan permainan sendiri dan ia boleh membantu kami untuk menentang mereka,” ujarnya.
Sebagai rekod, saingan Jelajah Dunia Super 750 itu merupakan kejohanan keempat mereka musim ini selepas terlepas beberapa kejohanan awal tahun ekoran kecederaan yang dialami Haikal.