Tahu ada habuan akan diperoleh, itu sangkaan jahat – Bung Moktar

9 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan bahawa beliau telah menggunakan pengaruh dan jawatannya berhubung wang RM2.8 juta yang diterima isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dalam pelaburan Felcra RM150 juta.

Dalam pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan hari ini, Bung Moktar, 66, yang juga saksi pembelaan pertama itu berkata beliau tidak bersetuju melakukan perkara itu bagi memastikan mereka menerima wang tersebut.

Pendakwaan: Setuju saya katakan kepada Datuk Seri bahawa Datuk Seri telah menggunakan pengaruh dan jawatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad bagi memastikan perkara ini berjaya dilakukan supaya wang berjumlah RM2.8 juta itu diterima oleh isteri Datuk Seri dan Datuk Seri.
Bung Moktar: Tidak benar, tidak setuju

Pendakwaan: Setuju bahawa Datuk Seri memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaburan yang melibatkan amaun RM150 juta daripada Felcra Berhad ke Public Mutual
Bung Moktar: Tidak betul, itu sangkaan jahat.

Pendakwaan: Setuju saya cadangkan kepada Datuk Seri bahawa segala soalan dan jawapan menunjukkan dengan jelas bahawa Datuk Seri tahu dan ada pengetahuan ada habuan (RM2.8 juta) jika perkara ini berjaya?
Bung Moktar: Tidak betul, itu sangkaan jahat

Bagaimanapun, Bung Moktar tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa segala tindakan beliau diluar skop.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad bersambung 24 September ini.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |