‘Syukur saya masih hidup diberi peluang kedua’

8 hours ago 5

IPOH – Anggota polis, Sarjan Mohd. Parih Ali, 44, bersyukur kerana diberikan peluang kedua untuk hidup selepas terbabit dalam kemalangan tragis yang mengorbankan sembilan rakan sekerja di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan minggu lalu.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam itu berkata, meskipun mengalami kecederaan teruk akibat nahas itu, dia bersyukur kerana dipanjangkan usia sekali gus dapat kembali bersama keluarga.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu keadaan saya semasa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Teluk Intan. Apabila dapat pulang ke rumah dalam keadaan seperti ini pun saya amat bersyukur.

“Alhamdulillah, saya masih hidup. Ini adalah peluang kedua untuk saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Parih dan isterinya, Rohani Yatim, 45, menerima kunjungan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim bersama Yayasan Ikhlas yang tampil memberikan sumbangan kepada mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

Menceritakan semula mengenai insiden itu, Mohd. Parih memberitahu, semasa kejadian, dia sedang tidur dan hanya tersedar apabila merasakan tubuhnya ditarik seseorang.

“Keluar sahaja dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, saya tidur sebab selesai tugasan kawalan pukul 3 pagi. Saya perlu masuk kerja pada pukul 9 pagi.

Saya memang tak sedar, bila dah sedar tengok kawan-kawan tarik. Dalam keadaan patah saya tak boleh bergerak tetapi saya ingat keadaan semasa diusung dan dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Menurut Mohd. Parih, kemalangan tersebut menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan lebih-lebih lagi ia mengorbankan ramai rakan sekerja selain lapan yang lain cedera. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |