‘Syed Saddiq dah boleh kahwin dengan Bella’

8 hours ago 3

PETALING JAYA – Belum sempat reda kelegaan selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan, nama pelakon Bella Astillah pula ‘naik’ di media sosial gara-gara ramai yang mahu kedua-duanya segera diijabkabulkan.

Pasangan yang digelar peminat sebagai ‘BASS’ (gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq) kembali menjadi bualan netizen yang membanjiri ruangan komen dengan harapan agar mereka berkahwin selepas melalui tempoh sukar bersama.

“YB (Yang Berhormat) Syed Saddiq dah boleh nikah dengan Bella. Dia setia dan sanggup mendampingi YB masa susah dan tidak menentu. Payah nak cari yang begini, ramai yang mendoakan,” komen Hussamuddin Yaacub.

“Kedua-duanya sama padan, sama cantik. Doa-doa la cepat naik pelamin,” kata Jamilah Yahya.

“Lepas ni kita tunggu je jemputan nasi minyak BASS. Semoga dipermudahkan,” komen pengguna lain.

Menerusi pelbagai hantaran di platform media sosial, ramai peminat turut memuji sikap Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, yang kekal menyokong Syed Saddiq sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

Terdahulu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Dalam penghakiman, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam mensabitkan hukuman itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |