KUALA LUMPUR – Kem angkat berat terus muncul sebagai penyumbang utama pingat emas kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila Mohamad Syahmi Nor Ghazali menghadiahkan emas keenam Malaysia menerusi kemenangan bergaya dalam kategori 94 kilogram (kg) lelaki, hari ini.
Pada aksi di Scottish Event Campus Armadillo,
Syahmi menewaskan pencabar terdekatnya dari Kanada, Alex Bellemarre, dengan kelebihan hanya 1 kilogram (kg) selepas melakukan jumlah angkatan keseluruhan 347kg, hasil 150kg dalam snatch dan 197kg dalam clean and jerk.
Lebih manis, Syahmi mencipta rekod baharu temasya bagi disiplin clean and jerk selepas melakukan angkatan 197kg.
Syahmi Nor Ghazali melengkapkan hari gemilang skuad angkat berat negara di pentas Sukan Komanwel. – MSNBellemarre terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila mengumpul 346kg menerusi angkatan 159kg dalam snatch dan 187kg dalam clean and jerk.
Atlet Australia, Oliver Riley Saxton terpaksa berpuas hati meraih pingat gangsa dengan jumlah angkatan keseluruhan 336kg (156kg snatch dan 180kg clean and jerk).
Kejayaan Syahmi turut mengesahkan angkat berat sebagai penyumbang utama emas Malaysia di Glasgow apabila menyumbang lima daripada enam pingat emas yang diraih kontinjen negara setakat ini.
Syahmi yang meraih pingat perak pada Sukan SEA 2025 itu kini menyertai senarai juara angkat berat negara bersama Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhammad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg).
Satu lagi emas Malaysia disumbangkan jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly yang mengungguli acara T20 lelaki.
Setakat ini, kontinjen negara mengumpul enam pingat emas, dua perak dan tiga gangsa, dengan sumbangan pingat turut hadir menerusi acara boling padang, powerlifting dan angkat berat. -KOSMO! ONLINE

4 hours ago
1






![[VIDEO] ‘Mereka ada duit, kita ada Allah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/PENGAWAL-PERIBADI-DIPUKUL-MAJIKAN-e1785320792848.jpeg)











![[VIDEO] Dah tampal notis tutup KKM, rider masih ‘pickup’ makanan?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-29-at-10.27.44-AM.jpeg)






























