Sultan Brunei puji perkhidmatan, kepakaran IJN – Anwar

1 day ago 11

PETALING JAYA – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menzahirkan rasa puas hati terhadap mutu perkhidmatan rawatan serta kepakaran doktor di Institut Jantung Negara (IJN) sepanjang menerima rawatan di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam forum Ilmuan Malaysia Madani Siri ke-6 di sini, malam ini.

Menurut Anwar, Sultan Brunei menyatakan bahawa beliau mempunyai pengalaman luas mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan terbaik dunia dan menyifatkan kualiti rawatan di IJN setanding dengan institusi kesihatan bertaraf antarabangsa.

“Baginda kata kepada saya, sebagai seorang yang mempunyai pendedahan dan pengalaman dengan pusat-pusat perubatan terbaik dunia, baginda sangat berpuas hati dengan mutu khidmat, kecemerlangan dan kepakaran doktor-doktor kita di IJN,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa walaupun kerajaan terbuka kepada kritikan, masyarakat juga perlu mengiktiraf kekuatan dan pencapaian negara dalam bidang-bidang tertentu termasuk perubatan.

“Jadi sementara kita membolehkan kritikan, itu tidak ada masalah. Tapi sekurang-kurangnya kita akui jugalah kekuatan yang ada dan harus ada dorongan itu serta menuntut dan memaksa kita membuat sesuatu yang lebih baik,” ujarnya.

Terdahulu, Sultan Brunei berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain.

Namun, pada 27 Mei lalu, baginda dikhabarkan sedikit keletihan dan pakar kesihatan Malaysia telah menasihatkan untuk berehat selama beberapa hari di IJN.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut berkongsi mengenai lawatan Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embalo ke Malaysia hari ini, yang menurutnya dilakukan atas dasar penghargaan terhadap kemajuan pesat negara ini.

“Saya tanya presiden itu, kerana hubungan kita dengan Guinea-Bissau sangat minima hampir tiada perdagangan atau pelaburan.

“Beliau jawab, kerana beliau mengikuti perkembangan dan melihat bahawa Malaysia sedang meningkat maju dan mempunyai potensi besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |