‘Sukar, orang harap Ejen Ali 2 lebih hebat’

10 hours ago 2

TIDAK keterlaluan dikatakan jenama animasi Ejen Ali sudah cukup terkenal bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi golongan dewasa. Barangkali, semua orang pernah terpaku di hadapan skrin menyaksikan gelagat adiwira kecil itu.

Selepas mencetus fenomena luar biasa pada 2019, dunia animasi tempatan kembali bergegar dengan kehadiran Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), sebuah sekuel penuh aksi, emosi dan kejutan yang bakal menghangatkan layar perak bermula 22 Mei ini.

Menjanjikan jalan cerita yang lebih mendalam, pengalaman visual yang memukau serta dimensi emosi baharu, EATM2 bukan sekadar filem, sebaliknya detik bersejarah buat animasi Malaysia yang terus melakar prestij di persada antarabangsa.

Sudah lama dinantikan peminat di dalam dan luar negara, EATM2 menghidangkan pengalaman animasi 3D yang memukau, naratif heroik yang menyentuh jiwa, serta pembangunan kisah yang lebih mendalam.

Malah sejak diperkenalkan di layar televisyen pada 2016, jenama Ejen Ali berkembang menjadi harta intelek (IP) unggul hingga menembusi lebih 65 buah negara.

Filem pertamanya meraih kutipan lebih RM30 juta sekali gus melonjakkan status animasi Malaysia ke tahap global.

Kini dengan teknologi IRIS baharu, kemunculan semula karakter-karakter ikonik serta penceritaan yang lebih matang, sekuel kedua menjadi mercu harapan baharu buat peminat dan industri.

USAMAH Zaid mengakui bukan mudah untuk merealisasikan sekuel kedua Ejen Ali The Movie 2.

Sasar RM60 juta

Menggalas cabaran sebagai sutradara dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin mengakui bukan mudah untuk membawa semula Ejen Ali ke layar perak.

“Perjalanan untuk menyiapkan EATM2 bukanlah mudah. Semuanya menuntut usaha luar biasa dan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan.

“Sejak perancangan awal sebelum pandemik, peminat tak henti-henti bertanya bila Ali akan kembali. Jadi, kami benar-benar ingin hadiahkan sebuah karya yang memenuhi jangkaan mereka,” jelasnya.

Mengulas soal sasaran kutipan, Usamah memasang impian besar mencatat jumlah dua kali ganda berbanding sekual pertama.

“Kalau tanya mengenai sasaran kutipan, saya rasa kena ‘double’ daripada filem pertama. RM60 juta mungkin? Insya-Allah, doakan,” ujarnya.

Namun di sebalik keyakinan itu, Usamah tidak menafikan ada tekanan berat untuk mengekalkan momentum dan kualiti filem terdahulu.

“Satu kelebihan bila kita hasilkan sekuel ialah jenama sudah dikenali. Orang dah kenal, dah ada ‘fanbase’, sudah ada penonton. Tapi, dalam masa sama, jangkaan juga jadi lebih tinggi.

“Kalau filem pertama berjaya, orang akan harap filem kedua lebih hebat. Kalau kita gagal penuhi atau atasi jangkaan itu, sangat mudah untuk jatuh.

“Saya cuma berharap filem ini dapat menyentuh hati penonton. Harapnya mereka akan sambut dengan meriah, kongsi di media sosial, dan beri maklum balas yang membina. Jangan simpan rasa kagum seorang diri, sebarkan dan ajak orang lain sama-sama tonton,” harapnya.

KARYAWAN, pelakon suara dan kru yang terbabit dalam Ejen Ali The Movie 2 sama-sama hadir memeriahkan malam gala filem berkenaan baru-baru ini.

Tekanan dan cabaran

Usamah tidak menafikan tekanan persaingan dalam industri animasi Malaysia kini semakin sengit. Namun baginya, kekuatan sesebuah karya bukan terletak pada kebetulan, sebaliknya usaha berterusan.

“Saya rasa tekanan tu bukan sangat sebab persaingan dengan cerita lain. Sebab sebagai penonton, kalau ada banyak cerita bagus, saya tak kisah tengok semua. Tekanan tu datang daripada diri saya sendiri, sebab kerja kreatif tak ada jaminan.

“Kita cuba buat yang terbaik, tetapi kadang-kadang hasilnya di luar jangkaan. Contohnya, bila kita nak tulis filem, dia sangat berbeza dengan siri. Masa musim kedua dapat sambutan baik, saya tanya diri sendiri: ‘Adakah musim pertama tu cuma kebetulan?’

“Dan bila masuk ke fasa filem pula, lain cabarannya. Tulis skrip filem jauh lebih sukar. Kadang-kadang sampai buntu, nak hempuk kepala kat dinding pun ada rasa,” ujarnya berseloroh.

Mengulas lanjut tentang cabaran menghasilkan naskhah kali ini, Usamah mengakui prosesnya penuh pengorbanan dan memerlukan kekentalan luar biasa daripada seluruh pasukan produksi.

Sebagai pengarah, penulis skrip dan ketua syarikat, dia juga mengakui egonya teruji. Namun katanya, demi kelangsungan kualiti, dia rela dibedah siasat oleh pasukan kreatif sendiri.

“Dalam pasukan saya, kami dah sampai tahap boleh kritik tanpa terasa hati. Sebab kami tahu semua yang ditegur itu untuk kebaikan projek. Kita lebih rela komen sesama sendiri sebelum orang luar komen.

“Saya tahu sebagai penulis, pengarah, dan CEO, ego tu kena jaga. Tapi saya cuba wujudkan persekitaran selamat agar orang berani bersuara. Itu sangat penting untuk hasil akhir yang terbaik.”

EATM2 juga menghidangkan runut bunyi yang menyokong perjalanan cerita menerusi Hanya Kamu nyanyian M. Nasir, Teman Sejati nyanyian band popular Indonesia, Nidji, manakala Hael Husaini menyempurnakan sentuhan emosi dengan lagu Penjuara.

Harapan, potensi besar

Biarpun jenama Ejen Ali sudah gah, Usamah masih menyifatkan dirinya seorang yang kurang keyakinan dan sentiasa merendah diri.

Namun dia terus bermanifestasi agar naskhah garapannya itu diterima ramai persis karya sebelumnya.

“Potensi cerita Ejen Ali ni sangat besar. Dunia dan watak-wataknya dah berkembang jauh. Tapi kalau tanya keyakinan saya, mungkin itu kelemahan diri. Saya jenis selalu ragu-ragu dan kurang yakin.

“Sebab itu saya hanya boleh berdoa dan berharap. Harap penonton akan suka, dan harap mereka akan bantu bawa Ejen Ali lebih jauh ke hadapan,” tutupnya.

Berlatarkan kota futuristik Cyberjaya, hero cilik, Ali kini menyertai program SATRIA, gabungan manusia dan kecerdasan buatan (AI) menerusi sut berteknologi tinggi bagi menghapuskan ancaman yang lebih besar, termasuk kehadiran Neonimus, penggodam penuh dendam. EATM2 diterbitkan Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions.

Dibawakan khas oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd, malam gala tayangan perdana EATM2 berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan.
Read Entire Article
Pertanian | | | |