Stok fizikal beras cukup untuk tempoh 6.23 bulan

12 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Stok fizikal beras negara berada pada tahap mencukupi untuk menampung keperluan rakyat selama 6.23 bulan, sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang gangguan rantaian bekalan makanan global.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, sehingga 7 Julai lalu, stok fizikal beras negara berjumlah 1.05 juta tan metrik, termasuk 200,000 tan metrik stok penimbal.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan global melalui pelbagai langkah.

“Seterusnya KPKM melaksanakan langkah menjamin kesinambungan pengeluaran domestik melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan kos operasi pengusaha agromakanan, antaranya Bantuan Tunai Budi Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan dan Insentif Pembajakan kepada Pesawah sebanyak RM300 sebulan dan mengekalkan subsidi diesel dan petrol kepada nelayan.

“Selain itu, memperkukuh pemantauan pasaran melalui pelaksanaan sistem amaran awal berasaskan kecerdasan buatan (AI) di bawah Sistem Intervensi Penawaran dan Permintaan Agromakanan bagi membolehkan pengesanan awal isu bekalan dan permintaan serta pelaksanaan intervensi yang lebih tepat, proaktif dan pantas,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris berhubung pelan jangka panjang kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada import makanan utama, termasuk sasaran tahunan nisbah kecukupan pengeluaran domestik serta tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

Foong Hin berkata, langkah lain termasuk meningkatkan pengeluaran domestik komoditi berkebergantungan import tinggi, seperti jagung bijian dan bawang.

“Program penanaman jagung berskala besar akan dilaksanakan dari 2026 hingga 2040 dengan sasaran 1.25 juta tan metrik.

“Bagi bawang, penanaman bawang merah kecil varieti tempatan BAW-1 akan dijalankan sebagai projek rintis komersial seluas 1,447 hektar menjelang 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |