Status Speedy Tigers kurangkan tekanan

9 hours ago 6

KAPTEN skuad hoki lelaki kebangsaan, Marhan Jalil percaya status Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan mampu menjadi pembakar semangat buat skuad negara melakar kejutan pada kempen Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda yang bermula 15 Ogos depan.

Menurut Marhan, tiada sebab untuk pemain berasa gentar biarpun diundi bersama juara bertahan Jerman, tuan rumah merangkap pasukan nombor satu dunia Belgium serta Perancis dalam Kumpulan B.

Katanya, segala persiapan yang dirancang ketua jurulatih, Brendan Carolan termasuk analisis terperinci terhadap corak permainan ketiga-tiga pencabar itu memberi keyakinan kepada pemain untuk menghadapi cabaran getir di pentas dunia.

“Semua orang tahu Malaysia bukan pasukan pilihan. Namun, jurulatih sudah memberikan maklumat mengenai kekuatan setiap lawan dan semua pemain memberikan komitmen penuh sepanjang latihan. Tugas kami sekarang adalah melaksanakan segala perancangan itu sebaik mungkin di atas padang,” katanya.

Marhan percaya peluang untuk mencipta keputusan positif tetap terbuka sekiranya Speedy Tigers mampu mencuri mata daripada pasukan-pasukan pilihan, malah menyifatkan aksi menentang Perancis sebagai peluang terbaik untuk memburu kemenangan.

“Saya yakin kami mampu menang terutama ke atas Perancis. Cuma apabila berdepan Jerman dan Belgium, kami perlu lebih bersedia supaya kesilapan seperti yang berlaku sebelum ini pada Piala Sultan Azlan Shah tidak berulang,” ujarnya.

Dalam masa sama, pemain berusia 36 tahun itu berharap semua pemain menjadikan Piala Dunia sebagai pentas untuk membuktikan kemampuan sebenar, selain menganggap kejohanan berprestij itu sebagai penghormatan terbesar buat setiap pemain yang diberi peluang mewakili negara.

“Bagi saya, matlamatnya cukup mudah iaitu mengharumkan nama negara. Dalam masa sama saya mahu memberi motivasi kepada semua pemain supaya sentiasa bersedia dan memberikan komitmen yang tinggi kerana Piala Dunia adalah kejohanan terbesar dan satu penghormatan untuk setiap pemain,” katanya.

Malaysia akan membuka kempen menentang Jerman pada 15 Ogos sebelum berdepan Perancis pada 17 Ogos dan menutup aksi Kumpulan B menentang Belgium pada 19 Ogos, dengan hanya dua pasukan terbaik akan mengesahkan tempat ke suku akhir.

Read Entire Article
Pertanian | | | |