SEBERANG PERAI – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bakal menyediakan peluang pemilikan kediaman buat masyarakat terutamanya golongan B40 menerusi pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan peruntukan kira-kira RM504 juta.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Azmi Mohd. Lila berkata, separuh daripada sasaran itu telah pun dilaksanakan setakat Mei ini dan dijangkakan keseluruhannya bakal disiapkan menjelang hujung tahun.
“Pembinaan rumah ini dilakukan agak cepat iaitu tidak lebih dari tiga bulan dan kebanyakannya menggunakan cara konvensional selain sistem binaan berindustri (IBS).
“Mungkin akan ada isu dari segi sedikit kelewatan (bagi sesetengah permohonan) kerana (ada) proses yang perlu dilalui,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar Taman Desa Kuala Muda, Penaga di sini, semalam.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyumbang RM38,950 dan SPNB sebanyak RM10,000 bagi program terbabit.
SPNB dan syarikat Progressive Impact Technolgy turut menyumbang sistem panel solar 4 kilowatt power bernilai RM18,540 bagi mendidik komuniti mengenai elemen penjimatan eletrik, mesra alam dan tenaga boleh diperbaharui, selain menggalakkan penggunaan teknologi hijau serta menyumbang kepada alam sekitar yang lebih sihat.
Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, kos pembinaan bagi setiap unit RMR membabitkan peruntukan RM75,000 iaitu RM20,000 dalam bentuk subsidi kerajaan manakala RM55,000 lagi sebagai pinjaman tanpa faedah.
“Antara syarat kelayakan pemilikan RMR ialah pendapatan pemohon mestilah tidak melebihi RM5,000, tidak memiliki rumah, dan mempunyai tanah sendiri.
“Bayaran bulanan adalah RM300 sebulan bagi tempoh kira-kira 16 tahun,” katanya.
Sebanyak lebih 73,000 buah RMR telah dibina di seluruh negara sejak 2002. – KOSMO! ONLINE