Soon Huat-Shevon lolos ke suku akhir

1 day ago 9

KUALA LUMPUR – Biarpun berstatus ranking kelima dunia, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tidak menafikan cabaran paling besar mereka hadapi ketika ini datang daripada pemain muda yang semakin agresif dan bertenaga.

Pasangan suami isteri itu masih mampu mengatasi tekanan tersebut apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menundukkan wakil tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-12, 21-17 hari ini.

Kemenangan di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta itu membuka laluan buat mereka ke suku akhir, namun sedar cabaran lebih getir menanti apabila dijadualkan menentang pasangan muda Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran esok.

“Agak sukar bagi kami berdua, terutamanya dengan usia kami dan segalanya. Sebenarnya, ia lebih sukar untuk dikekalkan berbanding pemain yang muda, mereka jauh lebih cergas dan kuat daripada kami.

“Jadi kami perlu benar-benar spesifik dengan latihan di dalam dan luar gelanggang selain juga pemakanan kami serta rehat sebagainya.

“Kami perlu mengambil kira semua itu. Tak boleh macam muda dulu. Kalau dulu boleh tidur jam 2-3 pagi dan bangun macam harimau keesokan hari, sekarang memang dah tak boleh buat macam itu lagi. Kami kena lebih teliti dan jaga diri,” katanya

Meskipun tidak memiliki pasukan sokongan besar seperti gandingan utama negara lain, Soon Huat-Shevon tetap mengekalkan disiplin tinggi dan menggunakan pendekatan latihan yang bersesuaian untuk kekal relevan.

Menurut Shevon, jurulatih mereka memainkan peranan penting agar tidak ketinggalan dalam aspek taktikal dan sentiasa mencari pendekatan baharu semasa latihan.

“Kami tiada ramai rakan sparring beregu campuran dalam pasukan. Tapi jurulatih sangat kreatif, dia sentiasa cuba pendekatan baru dan pantas sesuaikan latihan dengan keperluan semasa,” jelasnya.

Kini, tumpuan pasangan No. 5 dunia itu adalah mengekalkan rentak cemerlang di Jakarta dan terus memburu sasaran mara ke separuh akhir. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |