KUALA LUMPUR – Langkah Tabung Haji (TH) menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 untuk menerima tawaran haji berjaya mengurangkan kadar penangguhan tawaran kepada 18 peratus tahun ini berbanding 50 peratus pada tahun lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, penurunan itu membuktikan tahap simpanan pendeposit menjadi petunjuk penting terhadap kesiapsiagaan bakal jemaah untuk menunaikan ibadah haji apabila tiba giliran mereka.
Menurut beliau, jumlah simpanan minimum RM15,000 yang mula dikuatkuasakan tahun ini adalah selaras dengan kadar bayaran haji terendah bagi kumpulan B40, walaupun kos sebenar menunaikan haji musim lalu mencecah RM33,300.
“Penetapan simpanan minimum ini bukan untuk menyukarkan atau menafikan peluang pendeposit menunaikan haji.
“Sebaliknya bagi memperkukuh kesiapsiagaan bakal haji, mengurangkan penangguhan serta meningkatkan kecekapan pengurusan kuota selaras dengan konsep istitha’ah (kemampuan),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai rasional syarat baharu berkenaan.
Marhamah turut memaklumkan TH kini memberi peringatan awal kepada bakal haji seawal dua tahun sebelum jangkaan giliran mereka bagi membolehkan mereka membuat persediaan kewangan, kesihatan dan kecergasan secara lebih terancang.
Mengulas cadangan mewujudkan tawaran haji khas kepada pesara wajib yang menerima bayaran gratuiti, beliau berkata, TH tidak bercadang memperkenalkan kategori khas kerana ia boleh menjejaskan sistem giliran sedia ada serta menimbulkan ketidakadilan kepada pendeposit lain yang menunggu lebih lama.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tiada kes penipuan pakej haji dilaporkan sepanjang musim haji tahun ini.
Katanya, TH sentiasa memantau pengelola jemaah haji berlesen, manakala tindakan terhadap pengendali tidak berlesen dilaksanakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
4















































