KUALA LUMPUR – Rampasan kuasa oleh pihak tentera di Myanmar pada tahun 2021 menyebabkan negara itu berdepan dengan pergolakan hingga kini.
Gelombang protes besar-besaran kemudiannya bertukar menjadi pemberontakan bersenjata menentang junta sehingga hari ini.
Media antarabangsa melaporkan, konflik itu telah menyebabkan ekonomi Myanmar lumpuh serta mengakibatkan lebih 3.5 juta orang kehilangan tempat tinggal.
ASEAN mengambil langkah melalui pelan konsensus lima perkara untuk menamatkan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar, namun penerimaannya dianggap perlahan.
Konsensus itu menggariskan lima tunjang iaitu menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, menjadikan ASEAN sebagai perantara serta lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu.
Bagaimanapun Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dilihat ramai pihak, mampu memberi harapan untuk meredakan krisis berpanjangan di Myanmar.
Perkara itu malah pernah diakui oleh Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Julie Bishop sebelum ini.
“Situasi di Myanmar semakin merosot, tetapi saya lihat ada sinar di hujung terowong dengan peneraju Malaysia dalam ASEAN serta pelantikan Utusan Khas baharu mereka,” katanya.
Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 boleh memberi harapan yang lebih baik untuk Myanmar.
“Kita kena lihat sebelum ini sukar untuk ASEAN mendapat perbincangan dengan junta Myanmar, tetapi ASEAN yang dipengerusikan oleh Malaysia telah berjaya mendapatkan perbincangan dengan mereka.
“Saya fikir ini adalah kejayaan Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN yang perlu dipuji. Bagaimanapun saya tidak menjangkakan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 akan dapat menghentikan konflik di Myanmar serta merta, tetapi ia adalah mukadimah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam hingga 28 Mei menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama rantau Asia Tenggara.
Ia merupakan platform tertinggi bagi negara-negara anggota termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja membincangkan isu serantau secara kolektif.
Mohd. Mizan berkata, beliau turut meramalkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dalam usaha menamatkan krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar adalah lebih cerah.
Menurut beliau, jangkaan itu berdasarkan konflik bersenjata di Myanmar ketika ini menyaksikan junta berada di pihak yang sedang ditewaskan oleh penentang.

Jelasnya, junta sudah kehilangan beberapa kawasan dan faktor itu mungkin mendorong junta untuk menghentikan pergolakan yang sedang berlaku.
“Faktor Malaysia yang dipercayai dan kini menjadi Pengerusi ASEAN juga boleh menyumbang kepada keamanan di Myanmar,” ujar beliau.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Januari lalu dipetik berkata, ASEAN belum berhasrat menggantung keahlian Myanmar walaupun negara itu masih gagal melaksanakan sepenuhnya konsensus lima perkara.
Malah, katanya, Malaysia berharap dialog damai di Myanmar dapat dilakukan bagi mencapai kestabilan dan ASEAN sedang berusaha sedaya upaya dialog diadakan.
“Selaku negara jiran Myanmar, kita berusaha melakukan yang terbaik untuk memastikan kestabilan dan pemerintahan demokrasi dapat dikembalikan di negara itu,” katanya. -KOSMO! ONLINE