Siapa lupa bayar makan RM1,200?

1 day ago 6

PETALING JAYA – Seorang pemilik restoran tampil mencari sebuah keluarga selepas dipercayai terlupa membuat pembayaran bil makanan berjumlah RM1,241.10 selepas menjamu selera di premisnya, malam semalam.

Menerusi perkongsian video di media sosial, pemilik restoran itu berkata, pelanggan terbabit datang bersama ahli keluarga dan duduk di meja nombor satu kira-kira pukul 9 malam.

“Jumlah bil adalah RM1,241.10. Saya percaya pakcik itu bukan sengaja tidak membayar, mungkin terlupa atau anaknya menyangka pembayaran sudah dibuat.

“Pakcik itu datang dari Taiping, bergaya seperti seorang datuk dan membawa anak-anaknya makan bersama,” katanya menerusi video berkenaan.

Pemilik restoran itu berkata, pihaknya mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun memilih untuk tidak mendedahkan wajah pelanggan berkenaan kepada umum.

Katanya, dia yakin pelanggan terbabit akan kembali menjelaskan bayaran sekiranya video tersebut sampai kepadanya.

“Saya tidak mahu tunjuk CCTV atau gambar kerana yakin apabila pakcik menonton video ini, dia akan datang semula untuk membuat pembayaran.

“Saya juga tidak mempunyai nombor telefonnya. Jadi, saya berharap orang ramai dapat berkongsi video ini supaya sampai kepadanya,” ujarnya.

Menurutnya, pelanggan terbabit dipercayai mengetahui mengenai restoran tersebut menerusi TikTok, sekali gus membuatkannya yakin bahawa video pencarian itu turut akan dilihat oleh keluarga berkenaan.

“Saya yakin pak cik ni memang terlupa, sebab masa saya sembang memang rancak. Kita boleh tahu orang tu sengaja (tak nak bayar) atau tidak. Muka pak cik ni sangat jernih, saya yakin dia sangat baik.

“Pak cik kalau tengok video ni saya nak bagi diskaun untuk pak cik. Tak perlu bayar sampai RM1,200,” kata pemilik tersebut.

Sehingga kini videonya mendapat lebih 10,000 tanda suka, 1,600 komen dan 1,200 perkongsian.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |