PETALING JAYA – Jenama mi segera nombor satu Korea iaitu Shin Ramyun yang menyambut ulang tahun ke-40 pada tahun ini, telah memperkenalkan Stir Fry Kimchi, perisa baharu yang kaya dengan sentuhan SWICY (manis dan pedas) yang diinspirasikan daripada kimchi goreng kegemaran rakyat Korea.
Selain menyambut ulang tahunnya itu, syarikat juga mencipta sejarah dengan mencatat jualan global melebihi KRW20 trilion (RM56.8 bilion).
Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, kira-kira 42.5 bilion pek Nongshim Shin Ramyun telah dijual dengan laris di seluruh dunia sekali gus ia mengukuhkan legasi syarikat sebagai ikon sebenar masakan Korea yang terus dinikmati oleh jutaan pengguna di seluruh dunia.
Pengenalan produk makanan baharu ini adalah seiring dengan inisiatif syarikat yang mahu terus menguasai trend makanan di media sosial di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif/ Presiden Nongshim, Antonio Jo berkata, pihaknya kekal komited untuk terus berkongsi cita rasa autentik Korea serta inovasi kulinari dengan para peminat di seluruh dunia.
“Seiring peningkatan popularitinya di peringkat global, Shin Ramyun terus mengembangkan rangkaian produknya dengan perisa-perisa inovatif yang memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan.
Diinspirasikan daripada rasa yang kaya serta aroma menyelerakan kimchi goreng klasik Korea, Nongshim Shin Ramyun Stir Fry Kimchi menawarkan pengalaman SWICY (manis dan pedas) yang mengimbangi kepedasan, kemanisan dan umami yang berkekalan.
Setiap jaluran mi yang kenyal disaluti sos yang pekat dan dilengkapi cebisan kimchi asli serta sawi putih itu pastinya menghasilkan hidangan yang memuaskan deria, menyelerakan dan sukar dilupakan.
Perisa baharu ini menampilkan mi kenyal ikonik yang menjadi kegemaran peminat Nongshim Shin Ramyun, kini dipadankan dengan sos yang lebih pekat dan kaya rasa bagi memberikan dimensi rasa yang lebih mendalam.
Disahkan halal dan dibangunkan khusus untuk pasaran Malaysia, produk ini menawarkan gabungan kemudahan, keaslian dan keterangkuman kepada pengguna yang ingin menikmati pengalaman rasa Korea yang unik. -KOSMO! ONLINE

18 hours ago
5















![[VIDEO] Penganjur RXZ Members digesa beri anugerah kepada ‘Pak Su Tomoi’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/d1cd6874-dae9-4887-9372-773c573d6ae4.jpeg)

































