“Serik berlakon, dia tuduh saya cuba ‘overshadow’ kerjanya”

1 day ago 11

KUALA LUMPUR – Pelakon Luqman Hafidz mendakwa pernah menjadi mangsa cemburu seorang aktor yang menuduhnya cuba menenggelamkan watak utama digalas lelaki terbabit dalam sebuah drama.

Luqman atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hafidz Mohd. Fauzi, 30, berkata, perkara itu didedahkan sendiri petugas produksi yang mengakibatkannya enggan lagi bekerja dengan individu berkenaan.

“Kru sendiri maklumkan kepada saya berkenaan perasaan tidak puas hati pelakon itu yang diluahkan kepada mereka di set. Memang kecoh waktu itu.

“Dia mendakwa saya cuba ‘overshadow’ lakonannya selaku teraju utama membuatkan ada yang tertanya-tanya sama ada saya ada masalah dengan pelakon itu.

“Selepas itu memang saya serik berlakon dengannya. Tak mahu berdepan lagi insiden sama,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton drama Bilal dan Abah di TV AlHijrah, hari ini.

Akui Luqman lagi, drama tersebut sudah setahun berlalu namun impaknya masih berbekas di hati walaupun dia sudah berjumpa aktor berkenaan untuk memperjelaskan keadaan.

“Saya bersungguh-sungguh dan menghayati watak kalau berlakon sama ada filem mahu pun drama, baca skrip selain ikut kata pengarah agar ‘in character’.

“Tidaklah sampai nak menutup karakter pelakon utama kerana saya pun sedar diri. Kenapa perlu rasa tergugat. Tapi akhirnya semua tahu perangai sebenar pelakon itu,” ujarnya.

Luqman yang membawakan antagonis dalam Bilal dan Abah turut memuji keperibadian watak utama drama terbabit, Azhan Rani yang disifatkan tidak sombong selain sentiasa membantu rakan gandingan lain.

Katanya, biarpun satu nama besar dalam industri, aktor terbabit disifatkan sangat terbuka sepanjang mereka bekerja di set penggambaran drama arahan Pali Yahya itu.

“Ini pertama kali saya berlakon dengan Azhan, tetapi dia banyak bagi bimbingan ketika saya terbabit dengan Teater Muzikal Ola Bola. Memang secara peribadi Azhan ‘membumi’,” ujarnya.

Selain Azhan, Bilal dan Abah yang mengangkat nilai kemanusiaan dan emosi seorang lelaki autisme berhajat mengerjakan umrah turut dibintangi Ummi Nazeera serta Harun Hashim.

Drama yang menyentuh hati penonton itu bakal disiarkan menerusi TV AlHijrah pada 8 Jun ini, pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |